Pada hari Isnin, 29 November 2021, telah berlangsung Perasmian Seminar Antarabangsa Pendidikan Islam dan Keamanan (ISIEP) 2021 dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Seminar ini telah dijalankan secara hibrid di Dewan Dewan KH. M. Said Universiti Islam Raden Rahmat (Unira Malang). Seminar ini berlangsung selama dua hari bermula 29-30 November 2021 dan telah dihadiri oleh pembentang daripada beberapa buah negara seperti Indonesia, Malaysia, Nigeria, Thailand, Filipina dan Pakistan. Terdapat 600 orang peserta dengan lebih 70 orang pembentang.
ISIEP ini dihadiri oleh Menteri Agama Indonesia KH.Yaqut Cholil Qoumas dan Prof. Anshari Pangaga Ali, Ph.D (Universiti Negeri Mindanao – General Santos, Filipina) sebagai pengucaptama.
Rektor, Unira Malang H. Imron Rosyadi Hamid, SE., MSi melalui ucapannya memaklumkan bahawa Seminar Antarabangsa Pendidikan Islam dan Keamanan (ISIEP) 2021 telah menghimpunkan para cendekiawan, ahli akademik, penyelidik, pendidik dan pengamal pendidikan yang prihatin untuk mengembangkan wawasan yang bermakna dalam membina pendidikan Islam dan keamanan di era Masyarakat 5.0. Beliau menambah, aktiviti ini adalah usaha menyebarkan rukun dan nilai keamanan secara universal dan kesederhanaan agama.
Dr. Saifuddin, M.Pd, Dekan FIK berkata, seminar antarabangsa ini membawa dua tema utama iaitu Pemantapan Pendidikan Islam dan Peace Education dalam era masyarakat 5.0. Peace Education merupakan salah satu tonggak kepada 3 Rukun Inisiatif Khayra Ummah yang menjadi visi dan misi Unira Malang. Peace Education dijadikan sebagai teras dalam pembangunan program pengajian di Fakulti Sains Islam. Aktiviti ISIEP ini diharap menjadi wacana pembangunan saintifik pendidikan Islam dan peace education di peringkat nasional dan antarabangsa.
Berita lanjut boleh didapati di Seminar Internasional Pendidikan Islam, Menag Ungkap Peran Pesantren di Nusantara (kemenag.go.id) dan Unira Malang Gelar ISIEP 2021 – HUMAS UNIRA MALANG