Rumusan

SYARAHAN MALAM SABTU OLEH TAN SRI. PROF. DR. SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS,

12 OKTOBER 2013

“Pensekularan : Satu Rencana Falsafah”

Malam itu antara malam permulaan Dhu’l-Hijjah. Yang Mulia Profesor melangkah perlahan masuk ke perkarangan dewan buat kesekian-kalinya tanpa mengenal lelah dan jemu memberikan khidmat, menyusun kata, menyimpul makna sebagai hidangan penuh hikmah buat bekalan dan penyuluh jalan para hadirin yang selalu kedahagaan dan dalam kesamaran. Berlainan dengan malam-malam sebelumnya, YM Professor duduk berseorangan sahaja di hadapan dewan, tanpa ditemani murid setianya Profesor Wan Mohd Nor yang sedang berada di kejauhan demi menjalankan tugas menyambung rantaian keilmuan dengan para ilmuan tanah Istanbul dan Sarajevo.

YM Professor memulakan bicara. Jikalau minggu-minggu yang lalu, syarahannya banyak bertumpu kepada faham bahasa, bangsa dan kebangsaan serta pengalaman yang dilalui beliau dalam sejarah pembentukan negara bangsa yang dinamai Malaysia ini, pada malam ini intisari syarahannya ialah mengenai “pensekularan sebagai satu rencana falsafah”. Beliau mengingatkan para hadirin mengenai keutuhan konsep-konsep yang ada dalam bahasa-bahasa Islami dan betapa pentingya keutuhan maknawi ini dipertahankan, sedangkan “pensekularan sebagai satu rencana falsafah” ini telah berterusan menggugat keutuhan yang tersedia ini. Menurut YM Profesor, rencana falsafah ini bercirikan tiga sifat utama. Pertama, ia menyempitkan medan makna yang terdapat pada istilah-istilah tertentu serta meletakkannya di luar konteks yang asal. Kedua, ia mengubah takrif-takrif yang sedia jelas menjadi samar. Ketiga, ia menjadikan semuanya natural atau bersifat tabii.

Sekiranya ditelusuri kitab-kitab dan tulisan kaum Yahudi dan Nasrani maka kita tidak mendapati termaktubnya hal-hal mengenai hakikat jiwa insan di dalamnya. Sungguhpun para nabi dan rasul pastinya diberi ilmu mengenai hal-hal ini, orang-orang barat hanyalah mula berbicara mengenainya setelah mereka menemukan semula perbincangan-perbincangan falsafah oleh Aristotle dan Plato melalui penerokaan dan penulisan kaum Muslimin. Pada asalnya sememangnya dimaklumi bahawa hakikat insan itu bersifat ruhani. Takrif insan sebagai Hayawān al-Nāiq sendiri menunjuk kepada sifat ruhani. Perkataan al-Nāiq merujuk kepada keupayaan untuk mengungkapkan makna, bertutur dan memahami pertuturan. Pada saat ini YM Profesor membacakan ayat “alastu birabbikum? Qālū balā shahidnā” (al-A`rāf, 172) yang menunjukkan bahawa keupayaan ini sudah tersedia sebelum insan itu dilahirkan ke alam zahir ini. Beliau mengingatkan lagi para hadirin mengenai ayat “wa mā yaniqu `ani’l-hawā” (al-Najm, 3), betapa Rasulullah s.a.w itu tidaklah bertutur-kata mengikut hawa nafsunya. Pada hal, “in huwa illā wayun yūhā” (al-Najm, 4) semuanya itu semata-mata diwahyukan kepada baginda s.a.w. Maka, kita tidaklah dapat menerima anggapan bahawa keupayaan bertutur-kata ini hanyalah terhasil daripada proses evolusi yang telah mengambil masa jutaan tahun, sedangkan keupayaan ini sememangnya sudah ada pada insan semenjak asal penciptaanya di alam ruhani lagi, “Fa’idhā sawwaytuhu wa nafakhtu fīhi min ruī” (al-ijr, 29), “Wa laqad khalaqnākum thumma awwarnākum” (al-A`rāf, 11).

Perkataan ruh dalam bahasa Latin ialah psyche. Maka kajian mengenai roh dinamakan psychology. Namun ditimbulkan pula roh itulah dia manusia, dan manusia itulah rohnya. Maka Immanuel Kant mengubah pula istilah ini kepada kajian mengenai manusia, atau anthropology. Akhirnya, psychology telah bertukar menjadi anthropology, di mana anthropos ini ialah ‘manusia’ dengan merujuk kepada sifat bashariyyahnya, sesuatu yang merupakan sebahagian daripada alam tabii atau nature. Makanya sesuatu yang bersifat ruhani tadinya telah direndahkan dan disempitkan kepada sesuatu yang bersifat tabii semata-mata, nature, sedangkan kita berpegang bahawa nature ini ialah makhluk yang diciptakan Allah s.w.t jua, manakala jiwa atau roh bukanlah sebahagian daripada nature. Disiplin psikologi ini akhirnya direndahkan kepada unsur-unsur jasmani semata-mata, manakala roh direndahkan menjadi ‘minda’. Apabila minda menjadi perkara utama, maka persoalan yang seterusnya timbul tentulah berlegar di sekitar persoalan-persoalan ‘apakah yang difahami dengan ‘kecerdasan’?; apakah haiwan mempunyai kecerdasan?’, misalnya. John Locke, misalnya, tidak bersetuju haiwan mempunyai kecerdasan. Menurut Locke, seekor haiwan itu tidaklah cerdas kerana ia tidak mampu menghargai atau memahami keindahan, tidak mampu mentajridkan benda-benda atau objek-objek ilmu, tidak mampu melakukan analisis dan membuat pertimbangan dan perbandingan. Menurutnya lagi, bidang antropologi ini ialah satu-satunya bidang di mana yang mengetahui dengan yang diketahui itu bersatu. Namun menurut YM Profesor, ini adalah satu percanggahan. Sekiranya yang mengetahui itu hendak mengetahui dirinya sendiri dengan membuat kajian antropologi, ini bermakna dia tidaklah mengetahui dan tidaklah wajar digelar ‘yang mengetahui’. Sebaliknya dia sudah sedia tahu apa yang diketahui itu, maka apakah perlu lagi satu disiplin yang dinamakan antropologi ini untuk dia mengetahuinya? Akhirnya William James mengusulkan untuk kita tidak lagi perlu mentakrifkan apa itu manusia, biarkan sahaja ia dalam kesamaran. Perbezaan antara insan dan haiwan menurut mereka hanyalah perbezaan darjat kedudukan di mana yang satu itu terlebih rumit dan kompleks berbanding yang satu lagi. Yang satu itu dikatakan telah lebih jauh berevolusi berbanding yang satu lagi.

Tentu sekali kita tidak dapat menerima semua ini. Insan itu ialah bani Adam, keturunan Nabi Adam a.s. Sudah tentu terdapatnya keturunan-keturunan yang lain seperti keturunan penghuni-penghuni gua dan yang lain-lainnya itu, namun mereka ini bukanlah bani Adam, bukanlah insan. Lakukanlah anggaran menerusi pengiraan dan kita mendapati umur bani Adam di bumi ini tidaklah mungkin jauh melebihi 20,000 tahun. Yang dikatakan Neanderthal, Homo Erectus, dan lain-lain itu bukanlah bani Adam sebenarnya. Insan ini diciptakan dengan dua tujuan, iaitu pengabdian kepada Penciptanya dan sebagai khalīfah di muka bumi. Apabila kita menyebut khalīfah maka dengan serta-merta kita diingatkan tentang amanah. Maka insan itu menanggung amanah untuk membangun dirinya sendiri dan peradaban di muka bumi ini. Sementara daerah-daerah turunnya para nabi dan rasul ini, kawasan-kawasan inilah yang mula-mula memunculkan peradaban. Maka sungguh menakjubkan apabila pada zaman ini, perbuatan merosakkan hasil-ciptaan manusia digelar vandalism, sedangkan perbuatan merosakkan alam tabii ciptaan Allah s.w.t dinamakan development. Ini antara tanda-tanda insan sudah melupakan amanah yang menjadi tujuan penciptaanya tadi.

Insan itu bashar dan nafs, sedangkan para malaikat tidak memiliki nafs, tetapi hanya ruh. Pada insan terdapat dua nafs: nafs al-nāiqah dan nafs al-ayawāniyyah. Adapun al-ayawāniyyah ini terdiri daripada lima daya, sebagaimana terdapatnya lima daya inderawi. Sedangkan al-nāiqah pula mempunyai dua sifat: `amalī dan `ilmī. Sifat `ilmī inilah yang akhirnya menaakul dan mengetahui dan mengenali sesuatu itu seperti adanya. Untuk itu ia perlu mengetahui apakah dia yang membezakan sesuatu itu dengan sesuatu yang lain, kerana hakikat sesuatu ialah pada perbezaan itu. Sifat `ilmī inilah yang perlu dibangunkan, dan inilah dia matlamat pendidikan yang sebenarnya.

Ma`rifah ialah mengenali sesuatu itu seperti adanya, sedangkan `ilm ialah mengetahui sesuatu itu malalui hubungannya dengan sesuatu yang lain. Kedua-dua ma`rifah dan `ilm adalah amat diperlukan dalam mencapat keadilan, `adl, keadaan di mana setiap sesuatu itu berada pada tempatnya yang benar. Ahli-ahli sains dan falsafah, mereka semua memiliki semacam ma`rifah, cuma kita menggelarnya intuisi atau inspirasi, ads.

Perkataan ma`rifah ini berakarkan kata `urf yang membawa makna had atau batas. Terdapat had-had kebenaran pada setiap objek ilmu, yang sekiranya dilangkaui atau dikurangi akan menjadikannya palsu. Kita tidak seharusnya menyalahtafsir had-had ini sebagai kekangan untuk kita mencapai kebenaran. Bahkan sebaliknya. Di sini YM Profesor membuat perumpamaan sebuah kerusi, apakah itu kerusi? Kerusi ialah satu objek berkaki empat, ada kalanya tiga, tempat untuk manusia melakukan satu perbuatan yang dikenali dengan ‘duduk’. Tiada manusia maka tiadalah kerusi. Namun, sekiranya persoalan mengenai kerusi ini dibiarkan berlanjutan tanpa had-had tertentu, maka mungkin pula soalan tadi itu menjadi, misalnya, ‘dengan apakah kerusi itu diperbuat?’, dengan sejenis kayu, kemudian ‘daripada pokok yang manakah kayu itu diperoleh?’, ‘siapakah tukang kayu?’, ‘apakah alat-alat yang digunakannya?’, ‘berapa banyak alat?’, ‘bagaimana alat-alat itu dibuat?’, dan bagi seorang ahli fizik, mungkin, ‘apakah molekul bahan kerusi itu?’, ‘apakah atom unsurnya?’, dan berbagai-bagai lagi soalan yang akhirnya kerusi tadi terus lenyap dari fikiran. Soalan-soalan ini tidak langsung membawa kita lebih mengenali apakah itu kerusi, bahkan sebaliknya. Inilah perumpamaan keadaan insan yang telah menjadi mangsa pensekularan. Setelah disempitkan makna, dibuang takrif yang thabit, dan dibiarkan takrif menjadi samar, dia kemudiannya terus-menerus melakukan penyelidikan terutama untuk mengenali dirinya sendiri dan sifat-sifat bawaan insan, tanpa berkesudahan yang akhirnya tidaklah membawanya kepada ilmu pengenalan, bahkan terjerumus ke dalam lembah kekeliruan yang dahsyat.

Oleh itu teramat mustahak bagi kita untuk memahami apa yang dimaksudkan dengan had dan tidak memusuhinya. Sedangkan Allah s.w.t sendiri memberi khabar mengenai DiriNya secara terhad. Kita hanya mampu mengnali Allah s.w.t sebagai Rabb, sebagai Ilāh, atau melalui al-Asmā’ al-usnā. Sekiranya ditanya, ‘kalau begitu di manakah Allah sebelum alam ini diciptakan?’, maka jawapannya Huwa’l-Ān kamā kān. Alam tabii ini adalah sesuatu yang baharu, senantiasa baharu, awādith. Zarah-zarah atom itu pada penghujung pertimbangan tidaklah wujud, tidak wujud secara jasmani, ia bukanlah zarah sebenarnya, ia cumalah hasil atau akibat atau natijah daripada suatu perbuatan yang berterusan. Kulla yawmin Huwa fī sha’n.

Kembali kepada persoalan bahasa. Dalam tamadun barat, hanyalah Hobbes yang menyatakan kepentingan bahasa dalam pengkajian ilmu mengenai manusia. Ini kerana bahasalah yang membezakan antara manusia dan haiwan. Bahasa-bahasa Islāmī pula adalah bahasa yang di dalamnya sudah sematkan benih-benih kata-kata kunci yang membentuk pandangan alam. Berakarkan pandangan alam inilah akhirnya menjelma satu bentuk identiti di kalangan pengguna bahasa itu. Begitulah halnya dengan bangsa Melayu dan identitinya. Kajian Melayu di universiti-universiti tidak seharusnya merungkai identiti Melayu, iaitu Islām, dengan berusaha mencari-gali fakta-fakta runcitan dalam sejarah di mana terdapatnya peninggalan agama Hindu dan Buddha, misalnya, seolah-olah dengan ini identiti Melayu tidaklah lagi Islām, walhal orang-orang Melayu sendiri yang memperakui identiti Islāmnya, mangakui dirinya Muslim dan sebahagian daripada kaum Muslimin amnya.

ditulis oleh Muhammad Ikhwan Azlan, calon Doktor Falsafah CASIS

for the PDF version click HERE
To see the pictures click HERE