Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, program berkenaan membabitkan seramai 71,288 pelajar dan guru dari lebih 1,182 sekolah di seluruh negeri.

“Selain itu kita turut menjalankan kursus pemantapan pertuturan Bahasa Inggeris dalam kalangan guru besar dan kursus bersama-sama guru-guru Bahasa Inggeris serta program English in Camp yang membabitkan pelajar-pelajar sekolah.

“Program-program ini bertu­juan menjayakan lagi Pem­be­la­jaran Abad Ke-21 untuk me­ningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan pelajar,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Bahasa Inggeris Negeri Johor 2017 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini semalam.

Seramai 500 guru dari seluruh negeri menghadiri persidangan tersebut yang turut dihadiri Pe­ngarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif dan Timbalan Pe­ngurus Besar YPJ, Saifuddin Abd. Rahim.

Ayub berkata, menerusi usaha itu Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) turut menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk UTM bagi mendapatkan kepakaran mereka melatih guru-guru Bahasa Inggeris.

Katanya, kebanyakan masalah penguasaan Bahasa Inggeris membabitkan pelajar luar bandar, justeru lebih banyak inisiatif akan dijalankan bagi meningkatkan penguasaan bahasa tersebut dalam kalangan pelajar.