Disediakan oleh Norziati Mohd Rosman (Pelajar  Alumni Sarjana RZS-CASIS)

Siri keenam dan terakhir diskusi Islam & Sekularisme disampaikan oleh Profesor Dr Wan Mohd Nor Wan Daud. Diskusi ini dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu hakikat Islam & Sekularisme sebagai sebuah karya kulli, beberapa perbahathan utama Islam & Sekularisme dan kesan Islam & Sekularisme kepada masharakat dunia hingga kini. 

Terjemahan Islam & Sekularisme ke dalam Bahasa Melayu mengandungi pengantar yang disediakan oleh Profesor Dr Wan Mohd Nor yang membahathkan bahawa Islam & Sekularisme ialah sebagai satu karya agung kulli, ya’ni bersifat menyeluruh, universal dan sejagat. Isu-isu yang dibicarakan oleh Profesor al-Attas dalam Islam & Sekularisme adalah bersifat sejagat kerana menyentuh kebudayaan Barat, memberi penjelasan dan pemahaman akan masalah sebenar yang melanda orang Islam, diikuti dengan bagaimana pola-pola sekularisasi menyengat pemikiran dan kebudayaan orang Kristian, Yahudi dan umat Islam. Masalah yang dihadapi oleh sejumlah besar umat manusia – ya’ni umat Islam – adalah masalah sebenar yang tidak dilihat dan tidak dikaji secara mendalam oleh para sarjana lain sebelum Profesor al-Attas menulis perkara ini, dan ia bukanlah tentang masalah politik, ekonomi, peperangan, mahupun perpecahan yang selalu diperkatakan. Sebaliknya, Islam & Sekularisme menyenaraikan masalah utama yang melanda umat Islam secara dalaman dan luaran serta yang berlingkaran dan saling berkaitan antara atu sama lain iaitu keruntuhan dan kehilangan adab, kekeliruan dalam memahami ilmu, dan kemunculan pemimpin yang tidak berwibawa dalam pelbagai bidang. Setiap isu ini bukan sekadar dihurai secara universal tetapi cara bagaimana Profesor al-Attas menghuraikan setiap masalah secara halus dan terperinci, dengan pembuktian yang jelas dan penyelesaian yang bersifat amaliah (praktikal) sebagai penyelesaian kepada masalah-masalah ini 

Namun terdapat pandangan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa Islam & Sekularisme tidak sesuai dianggap dan diangkat sebagai sebuah karya agung kerana perbahathan di dalamnya tidak spesifik kepada satu-satu tema (juz’i) dan tidak bersifat akademik kerana tiada mempunyai nota kaki yang banyak, tiada menyenaraikan karya-karya lain sebagai rujukan, dan tidak mempunyai indeks dan glosari. Penulisan Islam & Sekularisme juga dikatakan  tidak setebal seperti sesebuah karya agung yang lain. Dalam hal ini, Profesor Dr Wan Mohd Nor menegaskan bahawa sebuah karya agung kulli yang universal akan benar-benar memahami dan mendalami isu yang dibicarakan dengan menyatakan sebab dan sumber permasalahan itu lalu menyenaraikan cara melepaskan diri dari masalah tersebut secara praktikal. Kaedah ini tidak terdapat dalam karya sarjana lain sebelum itu yang tidak dapat melihat masalah sebenar, serta tidak mampu melakukan perubahan atas kekangan tersendiri. Jika ingin menilai karya Profesor al-Attas dalam kerangka akademik, maka perlulah melihat kepada karya seperti The Mysticism of Hamzah Fansuri (kajian PhD yang diterbitkan pada 1970) dan A Commentary on the Hujjat al-Siddiq of Nur al-Din al-Raniri (terbit pada 1986) yang memang ditulis atas tujuan tersebut, justerru dipenuhi dengan nota kaki, rujukan, indeks, glosari dan pelbagai lampiran kitab turath.

Profesor Dr Wan Mohd menasihatkan agar kita perlu mengelakkan diri dari terperangkap dengan kaedah kesarjaaan moden yang terlalu mengkhusus (specialized). Sebaliknya kita perlu menilai sesebuah karya dengan seadilnya supaya belenggu kekeliruan dan kesilapan ilmu yang melingkari umat Islam dapat diberikan penyelesaian sewajarnya – yang mana ini merupakan satu tanggungjawab yang besar berbanding ‘ketebalan’ sesebuah karya. Penilaian yang serong seperti ini dikhuatiri boleh menyebabkan kita menzalimi karya yang dihasilkan oleh alim ulama terdahulu yang telah banyak menulis dan menghuraikan pelbagai perkara penting dalam ajaran Islam.

Koleksi Peribadi Encik Mohd Zain Abd Rahman yang dikongsikan ketika Symposium Syed Muhammad Naquib al-Attas Exhibition Section.

Hakikatnya, sebelum Profesor al-Attas menulis dan menyiapkan Islam & Sekularism (terbit 1978), beliau telah lebih dahulu menyiapkan Risalah Untuk Kaum Muslimin (siap ditulis pada 1973) yang merangkumi idea yang (hampir) sama dalam bahasa yang berbeza. Namun Risalah Untuk Kaum Muslimin tidak diterbitkan lebih awal kerana Profesor al-Attas berpandangan belum sesuai lagi untuk kaum Muslimin khususnya di Malaysia untuk memahami idea besar  dan pandangan yang terpapar di dalamnya pada ketika itu. Justeru Islam & Sekularism diterbitkan dahulu dalam Bahasa Inggeris untuk disampaikan kepada kelompok yang lebih besar dan lebih adil dalam memahami kandungannya. Oleh kerana Islam & Sekularism bersifat kulli, universal dan sejagat, justeru impaknya juga adalah universal-sejagat kerana menyentuh permasalahan umat Islam dan kesan yang mereka alami menerusi perbahasan di dalamya. Maka tidak hairanlah, Islam & Sekularism telah diterjemah ke banyak bahasa dunia meskipun diterbitkan oleh sebuah pertubuhan kecil yang tidak mempunyai apa-apa kedudukan dan pengaruh dalam masyarakat pada ketika itu. Malah Profesor al-Attas sendiri tidak didukungi oleh mana-mana pergerakan yang boleh ‘berbicara’ bagi pihaknya tetapi kandungan Islam & Sekularism telah ‘bergerak dan bercakap’ lebih jauh dari itu dan menyebar ke seluruh dunia sedikit demi sedikit hingga sekarang. 

Dalam menghuraikan masalah yang dihadapi oleh kaum Muslimin, Profesor al-Attas dengan tegas menyatakan bahawa sekularisasi ialah satu program falsafah. Justeru strategi paling tepat dalam memberi jalan keluar dan menyelesaikan masalah ini ialah menerusi pendidikan yang dijalankan di peringkat pengajian tinggi iaitu di universiti. Proses pendidikan ini dinamakan sebagai Islamisasi bagi melahirkan manusia beradab. Penyelesaian ini berbeza dengan tanggapan umum, yang selalu membayangkan penyelesaian masalah harus bermula dari ‘benihnya’ ya’ni di peringkat rendah kerana dianggap mereka ibarat kain putih yang lebih mudah dicorakkan. Pandangan ini tidak salah tetapi kaedah ini tidak begitu lengkap dalam memikirkan tentang ‘siapa’ yang akan menanam benih tersebut supaya tumbuhan akan mekar dan membesar dengan sihat? 

Islam dan Sekularisme, muka surat 6

Profesor al-Attas mengambil pengajaran menerusi proses dakwah yang dijalankan oleh para nabi dan rasul kepada orang dewasa khususnya para pemimpin yang mana orang dewasa kini tempat berlakunya latihan intelektual dengan baik berada di peringkat universiti yang kemudiannya membina pula sistem pendidikan di peringkat rendah. Sekiranya proses ini dimulakan di peringkat rendah dan menengah, persoalan yang kemudiannya berlegar ialah siapa yang akan menjadi guru dan tenaga pengajar, meletakkan hikmah, menyediakan silibus, menulis buku rujukan, dan menyusun kurikulum kepada pelajar ini. Ini kerana akhirnya individu di peringkat pengajian tinggi akan dipertanggungjawabkan menyediakan segala keperluan tersebut. Justeru tepatlah pandangan Profesor al-Attas bahawa penyelesaian yang patut ialah proses Islamisasi dilaksanakan di peringkat pengajian tinggi. Kaedah ini diterapkan semasa Prof al-Attas menerajui ISTAC dengan penyediaan kursus dan pembelajaran yang tersusun, tenaga pengajar yang terpilih dan suasana pengajian yang memberangsangkan bagi membolehkan para pelajar dan pensharah berinteraksi dalam suasana ilmiyah yang baik. 

Menurut Profesor al-Attas, tunjang kepada Islamisasi terletak pada individu ya’ni pada diri Nabi Muhammad SAW. Ini berbeza dari pandangan sesetengah sarjana lain, ia sebaliknya mengangkat konsep-konsep dalam Islam yang tidak terputus dari haqiqat kebenaran sebagai asas pengislaman. Oleh kerana Islam bertujuan melahirkan insan, justeru insan yang patut dicontohi ialah Nabi Muhammad yang diakui memiliki akhlaq yang terpuji. Jika pemaknaan haqiqat diri insan tidak dipasakkan pada individu, maka proses Islamisasi akan bersifat politik, ilmiyah atau falsafah semata-mata dan tidak memberi kesan yang besar kepada masharakat. Inilah yang berlaku pada kebudayaan Barat yang tidak dapat melihat kewibawaan individu sebagai tunjang kepada peradaban dan ketamadunan mereka mahupun dijadikan contoh dalam kehidupan. Atas sebab ini Profesor al-Attas melakarkan nama Nabi Muhammad SAW di tengah-tengah logo ISTAC dengan harapan institusi ini dapat melahirkan insan yang berakhlaq dalam menuruti perjuangan Rasulullah dan para Sahabatnya.

Bābur (بابر‎,) merupakan Maharaja Pertama Empayar Moghul ketika berumur 22 tahun

Islam & Sekularisme ditulis untuk dipersembahkan kepada generasi Muslim yang sedang bangkit (emergent Muslim) dengan harapan agar dunia baharu Islam dapat dibangunkan semula dengan lebih cemerlang. Telah tercatat dalam sejarah, generasi yang sedang bangkit ini menggagas pelbagai kerangka dan pola fikir pada zaman muda mereka seperti Abu Bakar al-Siddiq, Ali bin Abi Talib, Umar Abdul Aziz, Imam al-Ash‘ari, Muhammad al-Fateh, Harun al-Rashid, al-Ma’mun, Babur pengasas Mughal, dan ramai lagi. Mereka menyiapkan diri dalam bidang masing-masing terlebih dahulu sebelum keluar membanteras pemikiran dan amalan yang keliru serta tersasar sama ada menerusi kepimpinan atau keilmuan yang dikuasainya.

Ilmu moden banyak dipancarkan menerusi pandangan dan tatanilai orang Barat yang kian sekular meskipun ada yang datang dari fahaman agama Yahudi atau Kristian. Maka proses Islamisasi ditakrifkan sebagai ‘… liberation of man first from magical, mythological, animisitc, national-cultural tradition opposed to Islam and then from secular control over his reason and his languange.’ Islamisasi melibatkan pengenalan makna melalui bahasa kerana kita berfikir melalui bahasa khususnya pada kata-kata kunci yang terdapat dalam ajaran Islam. Pandangan alam yang betul membolehkan bahasa digunakan bagi menyampaikan dan membahaskan ilmu pada darjatnya yang wajar. Oleh yang demikian, Profesor al-Attas berulang kali menegaskan bahawa ilmu itu tidak bersifat neutral dan tidak bebas nilai (value free), berbanding Barat yang menganggap ilmu itu neutral dan bebas nilai. Ilmu itu dimiliki oleh seseorang insan, maka yang berilmu dalam diri insan ini ialah ruh dan aqalnya. Ruh dan aqal ini tidak neutral kerana telah dibentuk oleh sistem nilainya, seperti agama, yang menjadi pegangan, adat yang diwarisi, dan pandangan yang difahami terhadap kehidupan yang  membawa seseorang itu melihat ilmu menurut pandangan masing-masing. Ada juga nilai yang dikongsi bersama dengan pandangan lain atas hakikat bahawa seseorang insan itu tidak tinggal menetap sendirian, bukan bersifat perseorangan dan saling berinteraksi dalam hidupnya. 

Proses Islamisasi meskipun dilaksanakan di peringkat universiti namun ia bukanlah terbatas di universiti, sebaliknya bersifat life-long. Seseorang itu perlu lebih terbuka untuk memahami bidang-bidang lain juga. Oleh itu, Profesor al-Attas menyarankan agar kita harus menuntut semua bidang penting sebagai fardu ‘ayn dan  fardu kifayah, tetapi bukannya semua ilmu harus dikuasai dan dituntut oleh setiap orang. Ilmu fardu ‘ayn perlu dikuasai oleh setiap insan namun tidak terbatas pada apa yang dipelajari ketika di sekolah rendah atau sekolah menengah kerana fardu ‘ayn bersifat dinamik. Semakin kita dewasa, semakin berbeza suatu pandangan dan kefahaman terhadap sesuatu perkara. Maka ilmu fardu ‘ayn perlu sentiasa diulang belajar sepanjang kehidupan seseorang insan. Ilmu fardu kifayah juga perlu dipelajari dan dikuasai namun bukan oleh semua orang. Jika seseorang mempunyai kepakaran dan keahlian dalam bidang-bidang tertentu – misalnya teknologi kejuruteraan atau perkomputeran, perniagaan atau pertanian – maka ia adalah fardu kifayah yang perlu dikuasai dalam menyaingi kepakaran dan keahlian bangsa-bangsa lain. Namun begitu, tujuan menjadi ahli dalam bidang ilmu ini bukanlah atas dasar komersialisasi atau mengawal manusia, sebaliknya mendekatkan manusia kepada haqiqat kebenaran, mengenal Allah, mahupun kejadian alam semesta. Ini bertepatan dengan ma’na ilmu itu sendiri yang sampai kepada diri seseorang hinggakan kita dapat mengenal Allah dan dapat mengamalkan ilmu pada jalan yang betul. 

Profesor Wan Mohd Nor menegaskan bahawa proses Islamisasi tidak boleh dilihat dari sudut fanatik dan ketaksuban dengan sekadar ‘menempelkan’ Islam sebagai satu ‘jenama’ yang menjadi retorik dan popular dan tidak bersifat fundamental. Akhirnya Islamisasi ditolak dan tertolak atas ketidakfahaman dari sudut falsafah, sejarah dan pandangan alamnya hingga berubah menjadi proses ‘deislamisasi’. Islamisasi perlu disandarkan pada metafizik, sistem dan aqidah akhlaq yang mantap yang melahirkan manusia penuh adab, hikmah dan adil terhadap dirinya dan Islam secara keseluruhan.


Ringkasan Sesi-Sesi sebelumnya boleh didapati disini

  1. Sesi 1: Bab 1: “Latar Belakang Kristian Barat Masa Kini” disini
  2. Sesi 2: Bab 2: “Sekular – Sekularisasi – Sekularisme” disini
  3. Sesi 3: Bab 3: “Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak” disini 
  4. Sesi 4: Bab 4: “Dilema Muslim”  disini
  5. Sesi 5: Bab 5: “Dewesternisasi Ilmu” disini