Disediakan oleh: Siti Nor Aisyah Ngadiran (Pelajar Doktor Falsafah RZS-CASIS)
Sesi kelima ini membincangkan tentang keadaan umat Islam kini yang menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, semakin lemah akibat minda mereka yang terjajah (the captive mind). Akibatnya mereka hanya menumpukan kepada aspek luaran Islam semata-mata sehingga hilang keyakinan mereka terhadap agama Islam itu sendiri. Malah sedikit demi sedikit ajaran Islam itu ditinggalkan sehingga munculnya pemimpin-pemimpin palsu dalam kalangan mereka sendiri. Perkara ini turut diakui oleh Malik Bennabi (1905 – 1973), seorang sarjana Islam dari Algeria melalui pandangannya dalam karya beliau, Syurūt al-Nahdah, mengenai situasi umat Islam kini yang dianggap sebagai masyarakat pasca-peradaban iaitu masyarakat yang telah jumud pemikirannya dan mundur ke belakang setelah terputus daripada peradabannya. Masyarakat ini menurut beliau adalah masyarakat yang layak atau memiliki syarat-syarat untuk dijajah (al-qabiliyyah li al-isti’mār).
Justeru masalah sebenar yang dihadapi oleh umat Islam kini menurut al-Attas adalah kekeliruan dan kesalahan dalam ilmu pengetahuan akibat daripada kemasukan dan penyerapan falsafah Barat dalam pemikiran umat Islam. ‘Barat’ yang dimaksudkan di sini merujuk kepada sebuah peradaban yang berkembang daripada percampuran sejarah pelbagai kebudayaan, falsafah, nilai dan aspirasi Yunani dan Romawi kuno, yang kemudiannya bersatu dengan ajaran Yahudi dan Kristian dalam pelbagai bidang kehidupan manusia termasuklah sains dan teknologi sehingga mendorong peradaban ini ke puncak kekuasaan. Justeru ilmu yang difahami dan disebarkan ke seluruh dunia oleh peradaban Barat ini telah menyebabkan kehilangan tujuan sebenar ilmu tersebut iaitu bagi menciptakan keadilan dan perdamaian.
Tambah membimbangkan lagi apabila ilmu tersebut mengangkat keraguan (doubt) sebagai kayu ukur yang tepat dalam mencari kebenaran. Teori keraguan ini yang dipelopori oleh Descartes (1596 – 1650) juga telah menjadikan akal sebagai sandaran utama dalam menyelesaikan sesuatu isu bagi setiap perkara dalam kehidupan. Malah keraguan tersebut seterusnya mengakibatkan pencarian kebenaran yang tiada penghujungnya sebagai satu titik tolak kepada kemajuan dan pembangunan. Hal ini digambarkan oleh al-Attas ibarat Sisyphus, iaitu seorang dewa kecil dan juga pemerintah bagi kota Coriuth yang mendapat hukuman daripada dewa besar Zeus atas kesalahannya menghalang kematian. Sisyphus kemudiannya dihukum dengan menolak batu besar ke puncak gunung hanya untuk digulingkan kembali ke bawah dan mengulangi perbuatan tersebut untuk selama-lamanya. Hal ini dapat disamakan dengan keinginan mereka untuk sentiasa mencabar diri dalam mencipta sesuatu kemajuan dan mencapai kemuncaknya apabila mereka mendakwa diri mereka lebih hebat dan berkuasa daripada Tuhan kerana dapat memperbaiki setiap ciptaan Tuhan dan menyempurnakan kejadiannya mengikut persepsi mereka sendiri. Sedangkan pada hakikatnya ‘kemajuan atau pembangunan’ menurut mereka itu adalah suatu kerosakan tanpa mereka sedari.
Begitu juga apabila masyarakat Barat menganggap kehidupan manusia itu adalah sepertimana hukuman yang diterima oleh Sisyphus iaitu manusia itu dihukum oleh Tuhan melalui masalah yang mereka alami, dan perjuangan dalam menghadapi masalah kehidupan itu diibaratkan seperti Sisyphus menolak batu tersebut sehingga ke puncak. Manakala perbuatan Sisyphus yang berulang-ulang menolak batu dan menggulingkannya ke bawah menggambarkan konsep tragedi yang dipercayai oleh masyarakat Barat. Justeru mereka menganggap kehidupan manusia itu sebagai suatu bencana sehingga melahirkan perasaan benci mereka kepada Tuhan. Hal ini berbeza dengan pandangan Islam ynag menganggap bahawa kehidupan itu adalah satu anugerah daripada Allah S.W.T. kepada manusia dan makhluknya yang lain.
Justeru kekeliruan Barat dalam memahami hakikat ilmu dan kehidupan ini telah membawa pelbagai kerosakan apabila umat Islam turut terpengaruh dengan idea-idea tersebut. Oleh yang demikian al-Attas telah menganjurkan Islamisasi ilmu sebagai penyelesaian kepada masalah kekeliruan tersebut, yang mana merupakan suatu gerakan intelektual bagi menyedarkan umat Islam untuk berpegang kepada pandangan alam Islam itu sendiri. Dalam hal ini al-Attas menegaskan bahawa semua ilmu itu adalah datang daripada Allah S.W.T. dan umat Islam perlu jelas akan tujuan hidup mereka untuk menuju kepada keredhaan Allah S.W.T. sepertimana konsep manusia yang perlu melangsaikan hutang kepada Tuhannya iaitu menunaikan perjanjian atau kontrak antara dirinya dengan Allah. Begitu juga dengan tujuan pendidikan dalam Islam itu sendiri iaitu membina atau membentuk diri manusia yang baik. Maka mahu atau tidak, penekanan adab sangat diutamakan dalam pendidikan Islam sepertimana yang terkandung dalam sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud, “Tuhanku telah mendidik (addaba) aku, dan menjadikan pendidikanku (ta’dīb) yang terbaik. Maka pendidikan yang sebenar adalah menyerapkan dan menanamkan adab pada manusia yang disebut sebagai ta’dīb.
Ringkasan Sesi-Sesi sebelumnya boleh didapati disini