Disediakan oleh: Siti Nur Alaniah Binte Abdul Wahid (Pelajar Doktor Falsafah RZS-CASIS)
Pada sesi ke-4 ini, Dr. Khalif menjelaskan terlebih dahulu berkenaan buku “Islam dan Sekularisme” yang dituliskan khusus bagi memberikan penjelasan tentang jalan keluar pemecahan masalah yang dihadapi oleh Umat Islam pada masakini. Bab yang dibincangkan adalah bab yang paling penting yang boleh dikatakan kemuncak penulisan karya ini. Dua bab pertama adalah berkenaan latar belakang masalah, kemudian bab yang ke-3 pula membezakan Islam dengan Barat, manakala bab ke-4 ini membincangkan tentang akar masalah umat Islam. Sejajar dengan tajuk buku ini, “Islam dan Sekularisme”, ianya bukan hanya membahaskan tentang pandangan Islam terhadap Sekularime, juga bukan sekadar mendefinisikan Islam dan Sekularisme, tetapi misi sebenar buku ini ialah untuk membincangkan bagaimana umat Islam dapat keluar daripada kemelut, iaitu yang disebut oleh al-Attas sebagai “dilema Muslim”. Bahkan sebahagian besar karya ini memberikan penjelasan tentang masalah sebenar serta jawapan bagi masalah tersebut.
Dr khalif kemudian menyentuh perihal betapa pentingnya untuk menganalisa dan membuat kajian yang mendalam tentang sesuatu masalah. Walaupun adanya pemikir yang mengkaji masalah, tetapi hanya sedikit sahaja yang benar-benar tahu akan akar masalah, manakala ramai yang lainnya tersilap dalam mengenalpastinya. Akar masalah umat Islam pula perlu difahami dengan melihat latarbelakang sejarah pertembungan Islam dan Barat. Antara beberapa persoalan penting yang berkait dalam hal ini yang perlu kita ketahui serta memahami jawapannya adalah; kenapa Islam dan Barat saling bertembung; mengapa Barat menentang Islam; dan mengapa Islamofobia banyak berlaku pada masakini.
Isu Barat menentang Islam ini adalah satu hakikat yang tidak dapat dinafikan. Perlu difahami bahawa Barat di sini merujuk kepada sebuah tamadun atau peradaban yang mana menurut sejarah, mereka ini telah melakukan serang-serangan dan kritikan-kritikan yang hebat terhadap sumber-sumber ajaran Islam serta terdapat banyak kajian tentang Islam yang tidak objektif, antara contohnya, orientalis sejak abad ke-16 mendakwa bahawa al-Qur’ān yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ṣallalāhu ‘alayhi wa sallam itu adalah karya yang diinspirasikan iblis. Kebanyakkan kajian Orientalis terhadap Sharī‘ah, al-Qur’ān, Hadīth dan Rasūlullāh ṣallalāhu ‘alayhi wa sallam memberikan gambaran yang buruk. Islamofobia pula bukan sesuatu yang baru berlaku, bahkan ia boleh dilihat telah berlaku sejak abad ke-16 lagi. Al-Attas melihat akar pertembungan Kebudayaan Barat dengan Islam ini telah bermula bibitnya daripada perkembangan agama Kristian yang merupakan salah satu unsur yang utama Kebudayaan Barat. Terutama sekali apabila Islam muncul sebagai sebuah peradaban, Barat semakin rasa terancam dengan kehadiran pengaruh Islam. Di sini al-Attas menerangkan apa yang berlaku sehingga pertembungan ini tidak dapat dielakkan dan akan berkekalan. Namun kita perlu sedar bahawa memahami hakikat pertembungan Kebudayaan Barat dengan Islam yang berterusan dan kekal ini tidak harus disamakan dengan makna menanam rasa kebencian. Persoalan yang lebih penting adalah apa yang boleh dilakukan oleh Kaum Muslimin untuk bersedia menghadapi serangan-serangan yang tidak akan sunyi ini dan bagaimana dapat kita menjawab tuduhan-tuduhan yang telah dilontarkan.
Sebelum itu, penting juga untuk kita peka tentang adanya di kalangan umat Islam yang cenderung pendekatannya terhadap Kebudayaan Barat dan ini terbahagi kepada dua golongan. Pertama, pendekatan sekular dan liberal, iaitu mereka yang tunduk terhadap Barat. Bilamana Barat mengutarakan perselisihan mereka terhadap sesuatu dalam agama Islam, maka golongan ini juga sama mempertikaikan ajaran Islam, lalu akan timbul golongan pertikaian terhadap kitab suci al-Qur’ān. Mereka membenarkan apa yang didakwa oleh Barat dan berpendapat bahawa Islam dan al-Qur’ān yang perlu diubah; kedua, golongan Modernis, iaitu mereka yang cenderung untuk mentafsirkan teks sesuai dengan kemajuan Modernisme. Oleh kerana mereka berasa tidak yakin dengan apa yang ada dalam agama Islam, maka mereka cuba untuk mentafsirkan semula ajaran Islam. Mereka tidak mempertahankan Islam, Sharī‘ah, Nabi Muhammad ṣallalāhu ‘alayhi wa sallam dan Al-Qur’ān, tetapi sebaliknya bagi mereka ini, Islamlah yang perlu melakukan penyesuaian terhadap perkembangan zaman.
Oleh itu, Al-Attas menekankan bahawa adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk mengenal, mengkaji dan mendalami Islam dengan baik supaya mereka tidak menjadi keliru sepertimana yang telah dibincangkan dalam bab sebelum ini, iaitu kepentingan memahami Islam sebagai al-Dīn dan bukan memahami agama dalam ruang lingkup yang sempit. Begitu juga memahami adanya keistimewaan dan keunggulan yang tidak terperi dalam agama Islam yang tiada terdapat dalam agama lain supaya tiada timbul rasa ‘ketidakpercayaan’ dalam diri. Pentingnya bagi Kaum Muslimin untuk kenal ‘ruh’ Islam, bukan sahaja ‘rupa’ Islam. Dr Khalif mengingatkan kita agar tidak terpukau dengan keindahan rupa dan luaran sesuatu kerana keindahan luaran itu akan pudar. Islam, contohnya, pada suatu masa dahulu memerintah dunia, namun kini Islam dalam keadaan yang tidak lagi berkuasa maka sebahagian Kaum Muslimin telah lentur ‘aqidahya dan mula meninggalkan ajaran Islam. Mereka yang mengenal ‘ruh’ Islam dan yang teguh pendirian adalah mereka yang memahami bahawa yang ada pada kelebihan Islam itu adalah bukan pada rupa tetapi ruhnya.
Dr Khalif juga menekankan tentang kewibawaan al-Attas sebagai tokoh sejarah, bukan sekadar terhadap satu bangsa tetapi dalam sejarah dunia. Beliau bukan sekadar seorang ahli falsafah, pemikir, dan Ulama, tetapi juga keunggulan dalam bidang sejarah yang dapat kita perhatikan perbincangannya dalam bab ini.
Jadi, apakah akar pertembungan antara Islam dan Barat dan mengapa berlakunya Islamofobia? Inilah antara persoalan yang ingin dijawab pada permulaan bab ke-4 ini. Sebahagian daripada cara pemecahan masalah adalah dengan memiliki Ilmu tentang sebab bagi dilema yang kita hadapi. Dengan mengenal akar sesuatu masalah, kita dapat mengenali masalah yang sebenar. Dan bagi memecahkan dan selesaikan sesuatu masalah, kita perlu terlebih dahulu mengenal pasti apakah yang menyebabkan sesuatu masalah itu berlaku. Dari situ barulah kita dapat kenal akan akar masalah tersebut. Di sini, penyebab masalah dan kerosakan dalam masyarakat adalah berpunca dari masalah luaran dan dalaman. Hakikat pertembungan Islam dan Barat adalah merupakan masalah luaran umat Islam, oleh itu mereka yang cenderung menafikan wujudnya hakikat ini adalah mereka yang “buta sejarah” kerana telah jelas dalam bab ini bagaimana al-Attas mendedahkannya dengan bukti-bukti yang nyata. Malahan walapun tanpa bukti sekalipun, pertembungan antara pandangan Islam dan Barat serta kebencian Barat terhadap Islam adalah satu hakiki dan nyata. Contohnya peristiwa sejarah yang berlaku di alam melayu adalah antara bukti yang menunjukkan apa yang telah dilakukan oleh kuasa Barat apabila mereka datang dan menjajah di sini. Mereka menghancurkan pusat-pusat ketamadunan Islam seperti apa yang berlaku ke atas Melaka. Melaka diserang begitu ganas sekali sehingga wanita dan kanak-kanak juga dibunuh. Ternyata agak dahsyat apa yang mereka telah lakukan terhadap kota-kota yang dibina oleh umat Islam sehingga tidak lagi kelihatan peninggalan Tamadun Islam kerana ianya telah dihancurkan.
Pertembungan ini bermula dari Barat yang disebabkan kebencian mereka terhadap Islam dan melihat Islam serta umat Islam sebagai musuh. Bibit-bibitnya telah bermula sejak zaman awal pembentukan Krsitian lagi sebelum kedatangan Islam. Dalam kita membicarakan tentang peradaban Barat, maka agama Kristian merupakan bahagian penting dalam peradaban Barat khususnya dari aspek asal usul serta kemunculannya. Walaupun telah ada beberapa agama pada waktu itu, tetapi belum ada satu agama universal. Oleh itu, Kristian dilihat mampu mencapai status sebagai agama universal. Agama yang telah sedia ada pada ketika itu terikat dan tidak dapat keluar dari batas-batas bangsa, kebudayaan dan dunianya sendiri. Yahudi contohnya, merupakan agama etnik, iaitu agama khusus untuk bangsa Yahudi dan tidak menerima bangsa lain untuk menganut agamanya. Manakala Hindu dan Buddha pula punyai sifat dan batas-batas yang menjadi hambatan daripada menjadi suatu agama yang universal. Tetapi Kristian tidak punya kekangan itu, maka dengan sebab itu ia berhasrat untuk menjadi agama universal. Oleh itu, Kristian mendakwa bahawa agama mereka adalah agama universal dan harapan tersebut telah disematkan ketika awal agama itu dibentuk oleh pemuka-pemuka agama tersebut.
Selanjutnya dalam bab ini, al-Attas menerangkan lagi apa yang dimaksudkan dengan agama universal. Gagasan ke’universal’an adalah suatu idea yang hebat yang bukan dari karya manusia. Menurut seorang pemikir dari Perancis, Numa Denis Fustel de Coulange, Yunani yang menyembah patung-patung sebagai kepercayaan mereka juga tidak dikira sebagai universal kerana ia tidak memiliki Tuhan Universal agama Kristian. Agama Kristian sejak dari mulanya cuba menyeru pada seluruh bangsa manusia. Namun pada hakikatnya dan berdasarkan sejarah, agama Kristian tidaklah boleh menampung pelbagai persoalan universal seperti kewujudan, kebenaran, dan kejadian Tuhan bahkan juga tentang seluruh bangsa manusia sendiri.
Pemuka-pemuka Kristian ternyata mendapat idea agama universal ini dari wahyu yang diturunkan kepada Nabi Isa tentang bahawasanya akan datang seorang Nabi yang akan membangunkan agama universal- iaitu agama untuk seluruh umat manusia. Ini bermakna bahawa agama dan syariat yang diturunkan kepada Nabi Isa dan juga Nabi Musa bukanlah untuk seluruh umat manusia. Tetapi akan datang pada akhir zaman kelak seorang Nabi yang diutuskan untuk seluruh umat manusia bagi menyempurnakan agama universal yang telah diturunkan oleh Allah pada umat manusia sebelum itu. Dalam pada itu, Nabi Isa ‘alayhi salam telah menyampaikan dan menerangkan kepada para pengikutnya apa yang telah diwahyukan oleh Allah Ta‘ālā, tetapi mereka kemudiannya mengubah isi pokok ajarannya. Mereka mengambil gagasan agama universal dari ucapan-ucapan Nabi Isa dan menerapkannya pada agama ciptaan baru mereka yang dinamakan sebagai Kristian. Di sinilah punca pertembungan antara Islam dan Barat kerana mereka menginginkan agama mereka yang universal.
Namun pada hakikatnya agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad ṣallalāhu ‘alayhi wa sallam sebenarnya merupakan agama universal yang sejati. Islam, sejak awal kemunculannya, menyeru kepada seluruh umat manusia serta mengikat tali persaudaraan yang erat antara anggota umatnya dari pelbagai bangsa yang tidak pernah dan tidak akan berlaku dalam agama lain. Ukhuwwah yang datang dengan agama Islam ini adalah sesuatu yang istimewa. Kemunculan Islam telah mengubah dunia dan perubahan itu telah memberi kesan kepada Barat kerana ia tersebar luas hingga sampai ke tanah mereka sendiri dan juga tamadun mereka. Dengan datangnya Islam, tamadun mereka semakin kecil maka bermulalah bibit-bibit permusuhan terhadap Islam. Menurut Henry Pirenne, seorang autoriti besar dalam sejarah Eropah, kedatangan Islam telah menyebabkan kemunduran dalam sejarah Barat, bahkan peradaban mereka juga telah dipengaruhi oleh peradaban Islam. Mereka pada ketika itu berada di zaman kegelapan. Dengan adanya pusat-pusat Pendidikan Islam di Barat, maka Islam telah mendorong semangat Renaissance dalam masyarakat Barat. Pusat-pusat pendidikan ini memancarkan ilmu ke dunia Barat dan dengan ilmu tersebut para pemikir serta cendekiawan Barat memperoleh kembali warisan inteletual dan peradaban kuno mereka yang hilang.
Ini adalah hakikat bahawa Islam memainkan peranan penting dan berpengaruh besar dalam membentuk sejarah dunia sejak dari kemunculannya sehingga selama sekitar seribu tahun sebelum terjadinya serang balas Eropah yang bermula dengan revolusi Sains secara beransur-ansur pada abad ke-13. Dengan berbekalkan ilmu yang mereka ambil daripada Islam melalui penterjemahan buku-buku dan karya seperti Ibn Khaldun, Imam Ghazali dan lain-lain ke dalam Bahasa latin, justeru telah menciptakan zaman Renaissance. Kekuatan intelektual ini terhasil setelah mereka belajar dan perolehi ilmu daripada para ilmuwan Islam lalu kemudiannya mereka melakukan serang balas ke atas umat Islam.
Pada abad ke-16 dunia Islam mengalami kemunduran, khususnya dalam aspek ekonomi. Dengan berlakunya penjajahan pada abad ke-17 maka berlakulah titik hitam dalam sejarah tamadun Islam. Serangan tidak lagi dalam bentuk ekonomi dan politik tetapi yang lebih bahaya lagi iaitu serangan intelektual serta menguasai umat Islam dari segi pemikiran yang menyebabkan berlakunya deislamisasi pemikiran orang Islam. Akibatnya, Barat berjaya memancarkan pandangan alamnya terhadap pemikiran orang Islam.
Pertembungan ini akan terus kekal memandangkan kedua-dua Islam dan Barat saling menolak pandangan yang lain; Barat akan pertahankan pandangan alamnya; manakala orang Islam pula akan terus berpegang teguh dan pertahankan pandangan alamnya. Barat akan terus melihat Islam sebagai saingan di pentas dunia yang mempunyai kekuatan untuk melawan serta mencabar kepercayaan dan prinsip asasinya. Prinsip, konsep dan permasalahan dari sudut teologi, etika dan metafizik sebagai contoh bertentangan antara Islam dan barat. Perkara ini merupakan sebab-sebab luaran kepada masalah umat Islam. Persoalan penting seterusnya ialah apakah sebab masalah dalaman umat Islam sehinggakan sebab-sebab luaran ini dapat mudah meresap masuk ke dalam pemikiran orang Islam? Apakah akar masalah dan punca sebenar masalah umat islam?
Menurut al-Attas masalah utama adalah keruntuhan adab (loss of adab). Ia merujuk kepada hilangnya tiga disiplin, iaitu raga, fikiran dan jiwa (i.e. ‘Aqli, jasadi dan rohani) dalam diri umat Islam. Disiplin ini menuntut akan pengenalan dan pengakuan:
- atas tempat yang tepat bagi seseorang yang dalam hubungannya dengan diri, masyarakat dan umatnya,
- atas tempat yang tepat bagi seseorang yang dalam hubungannya dengan kemampuan dan kekuatan jasmani; intelektual dan rohaniah seseorang itu;
- atas hakikat bahawa ilmu dan wujud itu tersusun secara hierarki. Setiap yang wujud, baik manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan ada tingkatannya, ada hierarki yang tersusun.
Pengenalan dan pengakuan tentang tempat sesuatu ini semakin menjadi kabur dalam diri umat islam. Disiplin diri memainkan peranan yang sesuai dengan pengenalan dan pengakuan itu lalu terjadilah adab pada diri seseorang dan masyarakat yang mencerminkan keadaan keadilan. Dengan adanya adab (yang memerlukan pengenalan dan pengakuan), maka natijahnya adalah keadilan. Tanpa adab, maka sesuatu itu ditempatkan bukan pada tempatnya maka berlakulah ketidak adilan dan seterusnya menzahirkan kekeliruan dalam ilmu tentang Islam dan pandangan alam Islam. Dek kekeliruan itu, muncul pula pemimpin-pemimpin yang menzahirkan ketidak adilan. Cara bagi menangani masalah kekeliruan dan kesalahan dalam ilmu adalah dengan menyelesaikan terlebih dahulu masalah keruntuhan adab kerana tidak akan ada ilmu yang benar yang boleh diperolehi tanpa pra syarat adab pada diri penuntutnya. Ilmu yang benar itu hanya datang dan diperolehi oleh manusia yang beradab. Manakala manusia yang tidak beradab itu tidak akan mendapatkan ilmu yang benar.
Selanjutnya, berkenaan dengan ilmu tentang Islam dan pandangan alam (worldview) Islam adalah berdasarkan dan merujuk kepada kewibawaan iaitu para ulama dan juga rujukan yang berwibawa. Oleh kerana yang memiliki kewibawaan itu puncaknya adalah Rasūlullāh ṣallalāhu ‘alayhi wa sallam, maka sesiapa yang mendapatkan warisan ilmu daripada Rasūlullāh ṣallalāhu ‘alayhi wa sallam dianggap sebagai yang berwibawa. Kewajiban kita ialah memilki sikap yang selayaknya terhadap kewibawaan yang sah iaitu dengan menghormati, cinta, kerendahan hati, dan kepercayaan yang cerdas atas ketepatan ilmu yang dijelaskan oleh kewibawaan tersebut.
Umat Islam harus menerima hakikat adanya tata-tertib berperingkat (hierarchy) yang sah dalam susunan makhluk dan ia merupakan Aturan Tuhan yang meliputi semua yang diciptakan dan ia menzahirkan berlakunya keadilan. Walaupun dari aspek rupa, manusia tampak sama, namun dari aspek ruh, jiwa, dan kekuatan, ianya berbeza dan tidak sedarjat. Allah Ta‘ālā menciptakan manusia dalam pelbagai darjat dan di sebalik perbezaan kemampuan intelektual dan kerohanian itu ada hikmahnya. Hatta Nabi Muhammad ṣallalāhu ‘alayhi wa sallam kini telah dihilangkan unsur kerohaniannya. Baginda lebih dianggap sebagai manusia yang berjaya seperti seorang pemimpin atau pengurus dan bukan sebagai seorang Nabi yang dipilih Allah Ta‘ālā untuk menerima wahyuNya. Sifat keunggulan kerohanian Baginda yang seharusnya ditekankan dan bukan semata-mata sifat manusiawi sahaja. Dengan tidak mengenali dan mencintai Baginda maka akan timbul masalah dalam agama dan keimanan kita. Dengan tidak menghormati sususan tata-tertib peringkat kewujudan bahkan menganjurkan serta mengajarkan kekeliruan dan kesalahan dalam ilmu sehingga menyebabkan masyarakat keliru antara farḍ ‘ayn dan farḍ kifāyah yang juga merupakan kehilangan adab.
Masalah yang mendasar adalah masalah pendidikan (ta’dib) di mana telah hilangnya pertimbangan yang betul antara ilmu farḍ ‘ayn dan farḍ kifāyah justeru menyamaratakan ilmu kededua ni. Oleh itu dalam bab seterusnya Al-Attas ada menerangkan bagaimana pendidikan Islam yang telah dirosakkan akibat daripada faham-faham modernisma serta golongan sekular dan modernis ini dapat dipulihkan kembali sepertimana yang diwariskan dan disepakati oleh ulama besar berdasarkan ajaran Rasūlullāh ṣallalāhu ‘alayhi wa sallam
Ringkasan Sesi-Sesi sebelumnya boleh didapati disini