Oleh Muhammad bin Mohamad Idris (Pelajar Sarjana di RZS-CASIS)
Bab ini menghuraikan takrif dan hakikat sekularisme sebagai program falsafah; masalah dan kesannya terhadap Kristian; tentangannya terhadap Islam; dan Islamisasi sebagai respon proaktif terhadapnya. Pengarang juga memuatkan takrif sekularisme dengan merujuk karya Harvey Cox dan faham-faham yang berkaitan yang dikembangkan oleh sarjana Barat sendiri, seperti Max Weber. Terdapat tiga dimensi sekularisasi iaitu penghilangan pesona daripada alam tabi‘ī; peniadaan kesucian dan kewibawaan agama daripada politik; dan penghapusan kesucian dan kemutlakan nilai-nilai daripada kehidupan.
Secara hakikat, ancaman program falsafah sekularisme tidak mampu menggugat kemuliaan agama Islam namun begitu sebahagian Muslim telah terkeliru akan fahaman ini. Ini berlaku akibat beberapa pemimpin yang telah terjajah akalnya kerana pengaruh pendidikan di Barat. Kekeliruan juga timbul perbuatan sesetengah pihak yang menayangkan sekularsime bukan pada hakikat yang sebenar. Mithalnya, sekularisme (sīkular) yang diistilahkan sebagai ‘ilmāniyyah dan ‘almāniyyah. Kekeliruan berlaku kerana kedua dua istilah ini berakarkatakan ‘’ilmu’ yang membawa kepada pemesongan pandangan kepada pihak yang menolak sekularisme juga bermaksud menolak ilmu.
Sementara itu, masalah yang dihadapi oleh Kristian dalam berdepan dengan sekularisme menunjukkan agama berkenaan seolah-olah bersedia mengalami proses sekularisasi. Kesan modenisme telah membawa kepada hala tuju baru daripada ‘theocentricism’ kepada ‘anthropocentricm’ iaitu pemusatan kepada manusia semata-mata tanpa kaitannya dengan Yang Pencipta. Perubahan pusat agama dari Jerusalem ke Rom ini menandakan berlakunya proses pembaratan yang membawa kepada bibit penolakan kewibawaan yang terdapat dalam proses sekularisasi, kerana Rom merupakan pusat Empayar Romawi. Kesan sekularisasi juga bertambah apabila penerapan yang salah falsafah Yunani dalam teologi dan metafizik Barat pada abad ke-17 melalui René Descartes yang membuka kepada metod pencarian ilmu melalui keraguan dan skeptisisme. Kesan pembaratan Kristian inilah menatijahkan kepada pengaruh ateisme, agnostisisme, utilitarianisme, materialisme dialektik, evolutionisme dan historisisme secara berturut pada abad ke-18 hingga kini.
Sedangkan pada peringkat awal, pihak gereja menolak sekularisme kerana terdapatnya perbezaan yang mendasar terhadap tiga dimensi sekularisme. Misalnya amalan asli metafizik Kristian bersifat tertutup sedangkan sekularisme yang bersifat terbuka. Kegagalan Kristian melawan sekularisasi apabila menerima falsafah Yunani di mana falsafah ini sendiri mempunyai elemen sekularisasi misalnya pemisahan antara Tuhan dan sains. Maka secara tidak langsung, ahli modenis Kristian menyuarakan kepentingan Kristian untuk menerima sekularisme. Tindakan mereka dengan mengambil caragaya dan meyakini evolusi sebagai mengatasi yang dihadapi hanya sia sia kerana tidak juga menemui jawapan yang muktamad.
Islam juga menolak faham evolusi kerana faham berkenaan bercanggah dengan faham dan amalan falsafah sejarah Islam dan hakikat penciptaan dan kemuliaan insan yang bermula daripada Nabi Adam. (lihat karya A Commentary on Hujjat al-Siddiq of Nur al-Din al-Raniri, h. 460; dan On Justice and The Nature of Man oleh Syed Muhmmad Naquib al-Attas). Al-Qur’an yang ditanzilkan kepada Nabi Muhammad telah sedia lengkap sepenuhnya dan Para Sahabat menyedari akan hakikat ini untuk menghimpunkannya. Tanzil ini juga memuatkan hakikat sebenar Nabi ‘Īsā, bahasa yang lengkap sempurna dan mengesahkan hakikat Islām sebagai sebuah agama baru yang namanya diberi oleh Tuhan. Malah, keunggulan hati, fikiran dan akhlakiah Rasulullah diimani, diteladan dan diamalkan oleh Para Sahabat yang kemudiannya menjadi epistemologi kepada umat Islam. Hatta Islām tiada memerlukan caragaya evolusi untuk umatnya tiba pada kebenaran kerana hakikat kemuliaan agama ini merentas zaman.
Sesi ke-3 akan bersambung Khamis ini pada waktu yang sama, 9pm-10.20pm. Jika belum ikuti dan masih hendak mendaftar, boleh ke http://tinyurl.com/IslamSekularisme