Disediakan oleh Muhammad Khairi Zainal (Pelajar Sarjana RZS-CASIS)
Sesi Pertama bicara buku Islam dan Sekularisme sempena penerbitan kedua terjemahan Prof Dr Madya Dr Khalif Muammar kepada salah satu karya agung Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam and Secularism bermula dengan membincangkan tentang “Latar Belakang Krisitian Barat Masa Kini”. Dr Khalif mulakan sesi beliau dengan mengetengahkan tentang prasyarat sesuatu karya itu untuk diletakkan sebagai karya agung. Para ilmuan dan sarjana menulis karya-karya keilmuan dalam ruang lingkup bagi suatu disiplin ilmu yang tertentu. Seseorang itu perlu mengetahui lapan perkara terlebih dahulu sebelum mendalami sesuatu bidang ilmu. Lapan perkara tersebut adalah: tujuan, manfaat kepada diri, ciri-ciri ilmu, pengarang dan autoriti (ahl) bagi bidang, martabat (yakni kedudukan ilmu itu berbanding ilmu-ilmu yang lain), pembahagian, dan ekosistem ilmu tersebut.
Buku ini pertamanya membahaskan cabaran dalam teologi Barat dan Islām, sekularisme yang bersifat falsafah, dan bagaimana Islām menghadapinya. Krisis keagamaan, yakni masalah dalam teologi Barat ialah berdasarkan kenyataan daripada sarjana-sarjana Barat sendiri dan bukan suatu tohmahan oleh Prof. al-Attas. Krisis teologi yang mendasar di dalam agama Kristian ini telah menzahirkan aliran pemikiran neo-modenis yang lahir daripada kalangan Kristian sendiri dan para intelektualnya. Jacques Maritain, seorang ahli falsafah Kristian yang terkemuka juga menyuarakan kebimbangannya terhadap krisis yang mengancam agama Kristian dan dunia Barat masa kini. Augustus Compte, seorang ahli falsafah Perancis juga telah membayangkan akan kebangkitan sains dan kejatuhan agama. Frederich Nietszche, seorang ahli falsafah-penyair Jerman, juga menyatakan bahawa ‘Tuhan telah mati,’ sekurang-kurangnya bagi dunia Barat. Nietszche menolak kebenaran agama dan perlu digantikan dengan falsafah pasca-modenisme.
Pengaruh sekularisasi yang kuat ini tidak mampu ditentang oleh ahli teologi Kristian lalu agama Kristian itu sendiri, khususnya Protestan, bersiap-sedia untuk mewujudkan agama Kristian yang baru, yang telah mengalami proses sekularisasi. Bahkan para ahli teologi Kristian menegaskan bahawa proses sekularisasi ini sememangnya berakar dan merupakan buah daripada ajaran Injil Gospel. Lantas terhasillah sebuah agama Kristian yang telah disekularkan, dengan menerapkan pemikiran-pemikiran neo-modenis yang berpegang kepada tiadanya kebenaran mutlak dan kebenaran hanyalah terbit selepas dicipta manusia. Proses sekularisasi ini telah menjadikan agama Kristian itu sendiri sebagai sesuatu yang sentiasa nisbi, sentiasa berubah, dan sentiasa dalam proses kemenjadian tanpa benar-benar menjadi sesuatu. Penganut Kristian yang menentang sekularisasi itu sendiri sebenarnya telah membantu proses tersebut. Inilah yang disebutkan oleh Jacques Maritain sebagai ‘kemurtadan yang terpendam’ (immanent apostasy) dalam kalangan masyarakat Kristian. Para intelektual Kristian ini sendiri akhirnya menyediakan agama Kristian ini agar lebih terbuka dengan tafsiran-tafsiran baharu, yang akhirnya diungkapkan oleh Lionel Mascall sebagai ‘bukanlah dunia yang diubah menjadi Kristian, tetapi Kristianlah yang diubah untuk dunia.’
Agama Kristian yang dipengaruhi dengan Hellenisasi pada awal abad perkembangannya menjadi punca permasalahan di dalam teologi dan metafizik Kristian. Hellenisasi ialah kemasukan falsafah Yunani ke dalam metafizik Kristian yang dibawa oleh Thomas Aquinas. Aquinas dalam percubaannya membawa apa yang dibincangkan oleh Ibn Sīnā, al-Rāzī, dan al-Farābī, namun Imam Al-Ghazālī tidak bersetuju jika kebenaran agama hanya dinilai melalui kebenaran falsafah. Permasalahan-permasalahan seperti memahami Tuhan sebagai Sosok suprarasional untuk membenarkan doktrin Triniti yang sukar dijelaskan memungkinkan kepada terwujudnya ateisme moden. Mereka juga berpegang dengan epistmologi Parminidean namun mereka bertolak-ansur dalam hal kewujudan dalam membezakan antara wujud sebagai hakikat yang nyata (contohnya: wujud alam secara keseluruhan) termasuk dalam wujud yang wajib dan kekal, namun wujud secara individu (contohnya: wujudnya sesuatu daripada alam atau wujudnya seorang manusia) termasuk dalam wujud yang tidak wajib, mungkin, atau bergantung (contingent). Intelektual Kristian meletakkan wujud makhluk itu sebagai suatu yang mungkin atau bergantung (contingent) apabila merujuk kepada kewujudannya secara nyata namun adalah wajib apabila merujuk kepada dirinya dalam fikiran. Pemisahan ini seterusnya membawa pula kepada pemisahan antara esensi (essence) dan eksistensi (existence) pada makhluk sedangkan bagi Tuhan keduanya mesti sama dan mesti, yakni Wājib al-Wujūd (Necessary Being). Penggunaan perkataan seperti esensi dan eksistensi menggambarkan bahawa kejadiannya- adalah berdasarkan pemikiran Barat yang sekukular. Pemisahan ini adalah berdasarkan kesalahfahaman Thomas Aquinas terhadap pandangan Ibn Sīnā yang mengatakan bahawa esensi dapat difahami tanpa perlu diketahui eksistensinya, dan esensi itu berbeza dengan eksistensi.
Seterusnya William Ockham menyimpulkan bahawa apabila apabila esensi sesuatu objek dapat difahami tanpa diketahui eksistensinya, maka kita tidak akan dapat mengetahui sama ada sesuatu itu benar-benar wujud atau tidak. Ockham menyandarkan pengetahuan kita mengenai sesuatu kepada eksistensi luaran objek tersebut. Keraguan Ockham terhadap eksistensi objek membawa pula kepada keraguan terhadap eksistensi Tuhan. Epistemologi inilah yang menciptakan ‘permasalahan tentang Tuhan’. Rene Descartes membuktikan kweujudan manusia dan makhluk melalui kesedaran dan intuisi empiris, namun tidak dapat menetapkan eksistensi Tuhan kerana Tuhan bukanlah subjek kepada intuisi empiris. Maka apabila esensi Tuhan di dalam akal fikiran tidak dapat diketahui (kerana tidak boleh didapati melalui pemerhatian empiris), maka eksistensi-Nya juga tidak dapat diketahui kerana esensi dan eksistensi Tuhan keduanya adalah sama. Pegangan pertama (first principle) mengenai kewujudan menurut Descartes ialah kewujudan itu mesti bagi orang yang berfikir itu sendiri. Manakala menurut ilmu Kalam, perkara Pertama yang perlu diyakini ialah kewujudan Tuhan, yang dapat dipastikan melalui wujudnya alam ini. Pegangan pertama ini ialah sesuatu yang dapat diterima akal tanpa memerlukan penghujahan.
Konsep Tuhan dalam teologi Kristian pada awal perkembangannya merupakan percampuran daripada konsep theos Yunani, Yahweh dari Yahudi, deus daripada metafizik Barat, dan dewa-dewi dari tradisi Jerman pra-Kristian. Konsep-konsep ini disatukan secara semu (artificial) biarpun setiap satunya adalah berlainan bahkan saling berlawanan, yang akhirnya menambahkan lagi krisis keyakinan mereka kepada Tuhan. Perkara-perkara ini menjelaskan apa yang berlaku di dalam sejarah masyarakat Barat sehingga sekularisme menjadi ‘worldview’ mereka dan agama ditinggalkan manakala sains pula diangkat menjadi panduan manusia.