“Nasihat buat Penuntut Ilmu”
Ringkasan
SYARAHAN MALAM SABTU OLEH TAN SRI. PROF. DR. SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS, 22 MAC 2014
Malam itu adalah syarahan keempat dalam Siri Keempat Syarahan Sabtu Malam anjuran Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban, CASIS. Tan Sri Profesor ditemani oleh muridnya Profesor Dr. Muhammad Zainiy Uthman di hadapan dewan. Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud tidak dapat bersama-sama para hadirin pada malam itu demi mengurus dan meraikan majlis pernikahan puteri bongsunya pada siang harinya. Setelah muqaddimah ringkas oleh Profesor Zainiy, Tan Sri Profesor pun memulakan bicara. Kelihatan selembar kertas dibacakan. Satu soalan yang diajukan oleh seorang pelajar dari sebuah universiti Islam pada syarahan dua minggu sebelumnya mendapat perhatian Tan Sri Professor. Jawaban kepada soalan yang dikemukakan itulah yang akhirnya terbentang menjadi satu sajian syarahan panjang yang penuh berisi nasihat dan tauladan, beserta minuman manis hikmah dan kebijaksanaan yang melegakan dahaga si salik yang lelah dalam perjalanan.
Tan Sri Profesor mengingatkan kembali para hadirin perihal adab. Bahawa sanya adab itu bukanlah mainan bicara tilikan nazar. Akan tetapi ilmu nan benar yang menerangkan akan kedudukan yang sah benar tiap-tiap maujud itu, yang dengannya kedudukan yang haq bagi dirinya sendiri juga diketahui. Maka seorang murid itu haruslah insaf penuh sedar dirinya akan kedudukan dirinya seorang murid, yang amat memerlukan pedoman dan tauladan sang guru musrshid. Seorang murid bukanlah seorang hakim yang boleh menimbang tara kata-kata gurunya dengan kata-kata sembarangan orang, membanding-banding dan menilik-nilik kata-kata orang yang tidak pun dikenali benar, sedangkan sang gurunya murshid telah dikenali wibawanya dan mengenali pula keperluan dirinya. Tan Sri Profesor menjelaskan hal ini telah sekian lama dialaminya di seluruh pelusuk dunia Islam, si murid sering bertanyakan soalan-soalan yang menunjukkan bahawa dia tiada mengenal akan kedudukan yang benar bagi dirinya.
Tan Sri Profesor menjelaskan makna perkataan “Dīn” yang dihurainya selama lebih 40 tahun lalu bukanlah terhasil daripada angan-angan dan tilikan buta, tetapi pengamatan yang teliti daripada al-Qur’ān beserta anugerah petunjuk dan ilham daripada Ilahi. Maka tidaklah wajar sekiranya seorang murid itu hanya setelah mendengar slogan-slogan bahawa “Dīn” itu lebih tepat diterjemah sebagai “way of life” atau “cara hidup” terus sahaja membuat keputusan bahawa tentu sekali ini terjemahan yang lebih tepat, yang lebih meliputi keseluruhan makna kalimah itu! YM Profesor menjelaskan lagi bahawa gambaran makna perkataan “ḥanīfan” itu ibarat sebuah kompas yang menunjukkan ke suatu arah, iaitu arah kepada agama yang akan datang kemudian, iaitulah Islam, yang telah diturunkan dengan sempurnanya, yang melengkapi dan merangkumi segala ajaran-ajaran tawhid yang terdahulu. Bukannya menunjukkan ke arah ajaran-ajaran lama yang kurang lengkap itu lalu mendakwa semua agama yang lebih awal diturunkan itu sama sahaja dengan ajaran Islam. Sudah tentu ada unsur-unsur asas yang sama, misalnya semuanya mengajarkan tawhid, namun Islam itu sendiri yang selengkapnya adalah suatu yang baharu.
Inilah dia tugas hakiki seorang guru, iaitu memberi “bayān” terhadap sesuatu permasalahan. Perkataan “bayān” ini sahaja pada masa ini sudah disalah erti. Bayan sering difahami dengan makna “rhetoric” atau seni menggunakan bahasa. Pada hal, bayan membawa makna melakukan analisis terperinci sehinggalah jelas nyata yang manakah antara (bayn) dua itu benar dan yang mana pula paslu. Ayat terakhir surah al-Kāfirūn itu perlulah pula difahami benar, “lakum dīnukum wa liyadīn”. Kalimah “dīn” yang pertama itu majaz manakala kalimah “dīn” di akhir ayat itulah yang haqiqi. Setiap nama bukanlah hanya sekadar nama. Nama menunjuk kepada haqiqat sesuatu. Nama-nama bukanlah seqadar suatu kesepakatan dalam masyarakat untuk memberi sesuatu itu namanya. Seperti perumpamaan batu itu tetap batu walaupun ia dipanggil dengan nama kayu, pada hal sudahlah maklum apa haqiqat yang dinamai batu itu dan apa pula yang dinamai kayu!
Hadith Baginda Nabi s.a.w yang menyebut bahawa sanya para ulama’ itulah pewaris para nabi memberi pedoman kepada kita bahawa apa yang diwariskan para nabi itu bukanlah benda-benda fizikal, tetapi ilmu. Ilmu yang dapat kita warisi ini hanyalah sebahagian kecil daripada Ilmu keseluruhannya. Para ulama yang benar bukan sahaja mewarisi ilmu ini tetapi juga segala macam masalah, fitnah dan pancaroba yang harus didepani oleh para nabi. Untuk itu, para anbiya’ itu semuanya terdiri daripada mereka yang mempunyai kewibawaan dan kedudukan yang tinggi dalam masyarakatnya. Jikalau pun bukan, mereka akan diangkat ke suatu kedudukan masyarakat tertentu sebelum diamanakan olehNya untuk menyampaikan Risalah. Umpama Nabi Musa a.s yang walaupun masyarakat Bani Isra’il pada zamannya dijadikan hamba oleh pemerintahan zalim Firaun, baginda telah diangkat darajat kemasyarakatannya dengan menjadikan dirinya sebahagian daripada golongan istana, yang akhirnya membolehkannya berbicara berdepan-depan dengan Firaun dengan wibawa. Akhirnya ketaqwaan yang sebenar-benarnya adalah berlandaskan ilmu, dan bukan istidraj, bukan perasaan, emosi dan angan-angan yang hanya menipu diri sendiri. Semuanya bermula dengan apa yang kita semua iqrarkan setiap kali kita menunaikan solat, bahawa “sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah semata-mata kerana Allah, Tuhan Sekalian Alam”, bahawa sekiranya kita melakukan hal ini sahaja dengan benar pun sudahlah lebih dari memadai.
Sememangnya sains dan teknologi telah banyak memberi manfaat dan menyelesaikan pelbagai masalah, namun ia datang dengan masalah-masalahnya yang baru dan tersendiri. Dalam hal ini kita haruslah menimbang-tara dan menilik dengan pandangan yang berlandaskan hikmah. Ilmu sains moden beserta teknologi yang terhasil daripadanya datang berserta suatu pandangan alam yang tertentu yang padanya terdapat unsur-unsur yang mencabar pandangan alam Islam. Pensekularan sebagai satu rencana falsafah ini telah secara terus-menerus mencabar dan menafikan kebenaran-kebenaran asasi yang telah kukuh menetap sekian lama dalam jiwa kaum muslimin, ibarat air bah yang datang dari tengah lautan yang menenggelamkan dan merosakkan semua yang menghalang laluannya. Prinsip-prinsip yang terdapat dalam rencana pensekularan ini seakan-akan satu penzahiran semula dalam bentuk baru caragaya golongan sufasta’iyyah yang terbahagi pula kepada tiga golongan. Golongan pertama, lā adriyyah, iaitu mereka yang menafikan sebarang kebenaran, bahawa tiada siapa pun yang dapat mencapai kebenaran. Golongan kedua, `indiyyah, iaitu mereka yang mendakwa bahawa kebenaran adalah semata-mata bergantung kepada perspektif atau sudut pandang masing-masing secara peribadi. Manakala golongan ketiga pula, `inādiyyah, iaitu golongan yang tiada apa hujah atau syarat atau apa sahaja kaedah yang dapat diterima oleh mereka sebagai sah, mereka hanya akan tetap dengan pegangan mereka sendiri walau apa pun. Hal ini jelas bertentangan dengan prinsip asas `aqidah Islam bahawa sanya, “hakikat bagi setiap sesuatu itu thabit jua, dan ilmu yang benar mengenainya dapat ditentusahkan dengan yakin”[1].
Pandangan alam yang terbit daripada pengalaman intelektual dan jiwa barat ini sering melihat sesuatu objek ilmu itu secara terpisah-pisah. Faham dualisme yang melihat segala sesuatu sebagai pertentangan dua haqiqat yang saling berlawanan antara satu sama yang lain ini menatijahkan pemisahan melulu bidang-bidang ilmu menjadi cabang-cabang kecil yang terlalu mengkhusus yang saling menjauhi antara satu bidang ilmu dengan yang lain. Akhirnya universiti-universiti menjalankan rencana pendidikan dan penyelidikannya dengan bermatlamatkan pengkhususan yang semacam ini, yang akhirnya melahirkan cendikiawan yang hanya mempunyai pengetahuan yang rinci mengenai sebatang pohon di hutan tanpa mampu lagi melihat dan menyedari bahawa pohon sebatang itu haqiqatnya hanyalah sebahagian daripada huatn belantara yang luas. Mereka tidak lagi dapat menyatukan bidang-bidang ilmu secara harmonis dan melihat gambaran keseluruhan penerokaan ilmiah mereka serta meletakkan bidang masing-masing pada kedudukannya yang benar.
Maka bagaimana pula kita dapat menghadapi gelombang air bah pensekularan ini dan pada masa yang sama hidup dalam masyarakat global yang rata-rata semuanya seolah-olah mengiakan dakwaan-dakwaan dan slogan-slogan yang selalu dilaung-laungkan itu. Bahawa kita pula seolah-oleh perlu bersama-sama mengiktiraf bahawa kebenaran atau hakikat sesuatu itu tidaklah sepenting proses pencariannya. Bahawa proses pencarian yang tiada berpenghujung itulah yang sebenarnya matlamat akhir dan perlulah diterima keadaan ini sebagai suatu yang tidak dapat dielakkan. Bahawa setiap manusia itu sama sahaja kedudukannya, tiada yang terlebih wibawa daripada yang lainnya. Bahawa keadilan itu ialah keadaan yang sama rata. Bahawa setiap ilmu itu perlulah diragukan dan dipersoal, dan proses ini haruslah berterusan. Dalam keadaan seumpama ini maka terlebih penting untuk kita kaum Muslimin kembali mengenal dengan sebenar-benarnya akan haqiqat agama ini. Sekiranya kita mengenal Islam dengan lebih mendalam akan terzahirlah haqiqat betapa Islam itu agama yang teguh menetap dapat diamalkan dalam apa keadaan sekalipun. Ilmu mengenai Islam tidaklah harus dihadkan semata-mata kepada ilmu fiqh, tetapi haruslah merangkumi keseluruhannya yang meliputi fiqh, kalam dan tasawwuf. Cabaran pembangunan yang begitu pesat dalam dunia hari ini tidaklah harus memalingkan kita daripada pembangunan diri insan yang secara peribadi itu. Bahawa haqiqat insan itu teramat mulia. Padanya terdapat kemampuan-kemampuan yang luas dan berbagai-bagai, sesuai dengan kedudukannya sebagai sebaik-baik ciptaan. Maka semua ini amat memerlukan kepada ilmu, dan Allah s.w.t tidak menganugerahkan ilmu kepada orang yang tiada adab. Maka hendaklah seorang yang menuntut ilmu itu terlebih dahulu mengenal dirinya dan kedudukan dirinya dengan sebenar-benarnya, kemudian beristiqamah dalam perjalanannnya dengan penuh ikhlas dan kesabaran.
ditulis oleh Muhammad Ikhwan Azlan | Calon Doktor Falsafah, CASIS | 23 Mac 2013
Tekan sini untuk PDF
Tekan sini untuk gambar
[1] Al-Attas, The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Cebtury Malay Translation of the `Aqā’id of al-Nasafī (Kuala Lumpur: UM Press, 1988), 53. “[Sa]muha ḥaqīqat segala perkara itu thābit adanya dan pengetahuan akan dia sebenarnya”