Kepimpinan, Pandangan `Alam Islām dan Peradaban: Sebuah Permulaan dari Kota Bogor

Disediakan oleh: Mohd Hilmi bin Ramli[1].

MMS_0866

Kota Bogor, yang terkenal dengan sejarah dan kemegahan Istana Presidennya dan dikenali juga dengan Kota Hujan kerana iklim yang dingin, termasuk merupakan tempat kelahiran Prof. Dr Syed Muhamad Naquib al-Aṭṭas, telah menjadi lokasi pertemuan dua wakil kepimpinan muda Muslim negara berjiran Malaysia dan Indonesia. Program Kepemimpinan Muslim Muda Indonesia-Malaysia (KMMIM) anjuran Universiti Ibn Khaldun, Bogor, Center for Avanced Studies on Islam, Science and Civilization (CASIS-UTM) dan Sekretariat Transformasi Serantau (STS) bermula pada 3 – 8 November bersamaan 29 Zūlhijjah 1434 – 4 Muharām 1435 telah mengumpulkan barisan pemimpin muda dari segala pelusuk pengajian tinggi di Malaysia dan Indonesia, sekitar berjumlah 80 orang.

Program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran awal betapa pentingnya konsep dan amalan kepimpinan berdasarkan pandangan ‘alam Islām. Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, Pengarah CASIS-UTM ketika dalam ucapan pembukaannya, mengungkapkan betapa pentingnya konsep arkitektonik dalam kepimpinan dalam Islām yang harus bermula dengan pandangan ‘alam Islāmnya. Kepimpinan bukan hak milik mutlak dan kerjaya seorang ahli politik semata-mata. Andaianya bahawa setiap kepemimpinan muda yang sedang dibentuk bertujuan akhirnya menjawat jawatan penting dalam politik dan kerajaan adalah hanya sebahagian daripada lapangan mengembangkan bakat kepimpinan.

Kepimpinan yang sebenar berdasarkan pandangan ‘alam Islām ialah bertujuan akhir memimpin diri sendiri supaya kenal hakikat diri dan perjalanan akhirnya. Ini diajar dalam Islām, tatkala perjanjian asali semua manusia ketika di alam Ālastu[2], bahawa sekalian manusia telah berkumpul di depan Yang Maha Agung, dan kemudiannya sekaliannnya berikrar akan Tuhan yang Esa dan saat kelahirannya dan kehidupannya di alam nyata ini,  perjanjian itu masih sah dan berkekalan sehingga akhir hayatnya.

_MG_6845

Oleh kerana itu setiap individu harus memimpin dirinya sendiri mengenal hakikat penciptanya, hakikat dirinya sebagai manusia, hakikat para Rasūl dan Malāikat dan ilmu yang benar sebagai bekalannya sebelum pulang menemui Tuhannya kembali. Amatlah malang jika perihal yang maha penting ini dilupakan atau dinafikan, sekaligus cerminan dia tidak mampu memimpin dirinya sendiri apatahlah khalayaknya.

Pandangan ‘alam Islām sebagai peta sangat penting kepada seseorang pemimpin apatahlagi individu Muslim. Prof. Dr Wan membuat tamsil peta kerana setiap muslim dilahirkan sebagai pedagang dan pedagang akhirnya akan pulang menemui Tuannya. Dunia ini adalah tempat singgahan sementara, yang hanya perlu mencari bekalan untuk berpindah ke ‘alam yang lebih hakiki dan kekal. Oleh kerana dunia (asal katanya dalam bahasa Arab danā) bermaksud terlalu dekat, telah menipu daya manusia untuk tidak mengingatkan hari yang jauh yang lebih pasti yakni Hari Akhīrat. Melalui pandangan alam Islām yang jelas akan komponen-komponen pentingnya seperti faham ilmunya, Ketuhanannya, Keinsanannya, bahasa, budaya dan ‘alam semesta, seorang pemimpin akan berupaya memandu dirinya bahkan khalayaknya ke arah jalan yang lurus dan diredai.

Berbanding dengan pemimpin-pemimpin hebat dunia yang terkenal, namun tidak ada peta ‘pandangan ‘alam’ di tanggannya, yang akhirnya seakan kehampaan kalbunya apabila saat kematiannya sudah tiba. Prof. Wan membawa kisah mantan Perdana Menteri dan Menteri Mentor Singapura yang pintar, Lee Kuan Yew tatkala di saat akhir kematian isteri tercintanya. Apabila ditanya wartawan, “Apakah yang kamu (Lee Kuan Yew) fikirkan sekiranya isteri kamu menghembuskan nafasnya yang terakhir?”, beliau telah menjawab, “Aku tidak pasti kerana orang yang mati tidak kembali membawa khabar berita kehidupan mereka di sana.”[3] Sekurangnya bagi umat Islām, ilmu dan tanda bagi ‘alam selepas kematian sudah dipacak jelas dalam peta pandangan ‘alamnya, maka perihal kematian bukan lagi suatu yang misteri dan hampa.

MMS_0835

Peta yang telah digariskan laluannya ke ‘alam akhirat oleh para Rasūl dan Anbiya’, dan yang telah dipacakkan tanda-tanda penunjuk ke arah itu oleh para ilmuwan dan ulama wibawa hanya kini dicemari dengan racun-racun keraguan epistemologinya oleh kerabat Ṣufasṭāiyyah moden, yang mengakibatkan tanda-tanda yang dipacak itu kabur, tercabut akarnya ataupun keliru identitinya. Akibat daripada keraguan epistemologinya, ramai yang berani menongkas arus kebenaran hakīkī, menyebabkan yang yang harām menjadi halāl dan yang halāl diragui kebenarannya. Orang seperti ini sepatutnya boleh bertemu dengan tanda ‘taubat’nya yang sepatutnya terpacak dalam peta pandangan alamnya, akan tetapi tanda tersebut sudah kabur, tercabut akarnya bahkan hilang identitinya akibat racun keraguan yang ditabur.

Melalui program kepimpinan seperti ini, para peserta terdedah kepada idea dan gagasan kepimpinan yang lebih besar melalui pandangan ‘alam Islām yang sebenar. Tidaklah asing sebenarnya untuk memupuk kepimpinan muda dengan idea-idea, falsafah mahupun gagasan besar kerana perihal seperti ini sudah pun dilaksanakan negara bukan Islām seperti di Australia melalui Cranlana Program yang dibawa oleh The Myer Foundation. Projek Cranlana ini ialah suatu usaha untuk memupuk di kalangan kepimpinan muda segala sektor di Australia untuk memahami idea-idea pemikir dan ahli falsafah ternama dunia, bermula Confucius (551-479 SM), Plato (428-348 SM) sehingga tokoh pemikir moden seperti Ursula Le Guin (1929-), Edward Said (1935-2003) dan ramai lagi. Paling menarik, antara ramai tokoh yang dipilih berserta ideanya, hanya seorang tokoh Muslim yang dipilih iaitu Prof. Syed Muhammad Naquib al-Aṭṭas dengan The Dewesternization of Knowledge yang dimuatkan semua karya tokoh pemikir dan ahli falsafah terpilih ini dalam buku silibus latihan kepimpinan mereka Powerful Ideas: Perspectives on the Good Society (2002).

Konsep arkitektonik kepimpinan dalam Islām bertujuan melahirkan pemimpin dalam setiap bidang yang diceburi, sama ada politik, akademik, sosial, ekonomi, hatta keluarganya supaya mereka dapat menyumbang secara adil dan amanah, berdasarkan batasan wibawa dan matlamat kepimpinannya, yang semuanya di bawah kerangka pandangan alam Islām yang sebenar. Ini seiring dengan tujuannya yang mahu memutuskan lingkaran ganas yang muncul dalam masharakat; yakni bermula kekeliruan ilmu dalam diri individu, yang kemudiannya melahirkan insan yang hilang adabnya dan akhir kesannya ialah masharakat yang hilang adab ini akan mengangkat pemimpin yang keliru, kerana hanya yang jāhil suka dipimpin oleh orang yang jāhil jua!

Dalam KMMIM ini, para peserta didedahkan dengan susunan tajuk dan pembentang yang mempunyai wibawa dalam bidang masing-masing. Tajuk-tajuk yang dibentangkan ialah seperti Worldview, Peradaban dan Kepimpinan, Unsur-Unsur Kesatuan ‘Alam Melayu, Kesatuan & Perpecahan Serantau: Mazhab, Extremisme, Syi’ah dan Islām di Wilayah Melayu Indonesia: Perspektif Historis, Hubungan Malaysia – Indonesia , Islām dalam Peta Politik Asia Tenggara dan Pasifik, Cabaran Ekonomi Serantau, Cabaran Intelektual Semasa  (Liberalisme,  Pluralisme, dan Islamisasi).

Manakala para pembentangnya terdiri daripada Prof. Dr Wan Mohd Nor Wan Daud (Pengarah CASIS-UTM), Dato Sahlan Ismail (Presiden STS), Dr Adian Hussaini (UIK/ INSIST), Prof. Dr Muhammad Zainy Uthman (CASIS), Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah (CASIS-UTM), Dr Mohd Zaidi Ismail (Institut Kefahaman Islam IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran (IKIM), Mohd Nizam Mashar (CEO Majlis Tindakan Melayu MTEM), Adnin Arnas (Direktor Eksekutif INSIST), Dr Nirwan Syafrin (UIK/INSIST) dan Dr. Hendri Sapini, (Pengasas Centre of Reform on Economics CORE).

Tidak mudah memahami suatu idea mahupun gagasan yang penting dan besar jika tidak disharahkan atau dipermudahkan. Setiap tajuk akan disusuli dengan sesi refleksi dipimpin oleh fasilitator Mohd Hilmi Ramli, Wan Ahmad Fayhsal dan Wan Mohd Aimran, kesemuanya penuntut di CASIS sambil dibantu oleh barisan panitia Randy, Reza, Ety, Subhi dan ramai lagi yang merupakan pelapis intelektual di Indonesia.  Peranan fasilitator ialah menghuraikan, menetapkan dan mengukuhkan lagi kefahaman peserta, dengan tidak dinafikan setiap tajuk dan sesi yang diperuntukkan kepada peserta saling berkaitan dan berkesinambungan, makanya barisan fasilitator umpama tukang jahit yang sekadar menenun kembali idea-idea dan faham-faham penting yang dikongsikan oleh penceramah supaya lebih cantik dan kemas kefahamannya.

Dalam setiap sesi refleksi itu, para peserta diberi peluang berkongsi dan berdiskui kembali apa yang mereka perolehi daripada sesi ceramah sebelumnya. Antara hal yang dibincangkan ialah kesedaran mereka betapa pentingnya melihat Islām sebagai faktor penyatu di antara umat Melayū dan Indonesia, disokong oleh faktor-faktor sosial, ekonomi dan politik. Di samping kesedaran sejarah bahawa dengan kehadiran Islām melalui usaha pendakwah dari Tanah Hadramaūt telah memberi identiti yang baru kepada umat Melayu di rantau ini yang dahulunya sekadar memuja nilai estetik agama Hindu dan Buddha.

Budaya saintifik dan ilmiah melalui pengenalan bahasa Melayu dan agama Islām telah mengangkat darājāt umat Melayu di rantau ini. Timbul juga persoalan dari peserta, “Apakah sumbangan Islām di alam ini?” Jawapannya ialah, jika aspek dan perihal material seperti bangunan, seni budaya mahupun artifak bersejarah dijadikan sebagai ukuran, peradaban Islām seakan terkebelakang dengan agama Hindu dan Buddha yang terkenal dengan Chandi mereka. Akan tetapi hakikatnya, peradaban Islām ialah peradaban ilmu yang menyumbang ke alam Melayu ini melalui revolusi bahasa dan akal yang tercermin melalui sumbangan penulisan dan akhlakiah. Karya-karya intelektual pelbagai peringkat, dari yang membahaskan perihal awam seperti ibadat dan muamalat sehinggalah perihal yang lebih tinggi dan serius seperti metafizik dan falsafah Islām telah dihasilkan oleh ilmuwan dan ulama kita.

Bersempena dengan kedatangan tahun Hijrah 1435 yang baru, sebuah karya penting oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud bertajuk “Islamisasi Ilmu-Ilmu Kontemporer” yang merupakan terjemahahan bahasa Melayu yang asalnya Islamization of Contemporary Knowledge and the Role of the University in the Context of Dewesternization and Decolonization telah dirasmikan. Karya tersebut adalah Sharahan Keprofesorannya Prof. Wan Mohd Nor yang telah mencatat sejarah di UTM apabila kehadirannya luar biasa mencecah 500 orang.  Majlis perasmian dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Seri Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Malaysia yang kelihatan senang dan tenang dalam majlis ilmiah itu, di samping bertemu dengan kepimpinan muda dua negara berjiran. Namun, agak berdukacita kerana Pak Amien Rais, negarawan Indonesia yang sebenarnya turut akan hadir ke majlis perasmian itu, tidak dapat hadir di saat-saat akhir kerana batasan kesihatan.

Antara penghargaan yang diterima oleh barisan penceramah dan fasilitator, terutamanya dari Malaysia ialah kesempatan melawat Istana Presiden, yang jarang-jarang diberi kepada tetamu luar. Rombongan Malaysia dketuai oleh Prof. Wan dibawa melawat keseluruhan Istana Presiden, bermula dengan bilik tetamu Presiden Indonesia yang pernah menempat tetamu kenamaan seperti Presiden Amerika sehingga ke bilik membaca dan bertemunya empat mata antara Presiden Indonesia dan tetamunya, perpustakaannya dan akhirnya ke ruang mesyuarat pembesar negara. Istana tersebut mempunyai keluasan tanah yang luar biasa, sehinggakan kami merasa aman dan sunyi, dibelakangi oleh nostalgia dan sejarah Istana tersebut. ‘Kuasa ruang’ sememangnya mengunci kami daripada merasai keributan dan kemacetan jalan raya di Bogor untuk seketika waktu.

Di sekeliling taman Istana itu ada hampir 800 ekor rusa yang telah beranak-pinak sejak mula-mula Istana tersebut dibina sekitar tahun 1744. Satu soalan ditanya, apakah pernah ada mantan-mantan Presiden yang menyembelih antara rusa-rusa itu untuk dijamah oleh ahli keluarganya, kerana kami dikhabarkan ada salah seorang mantan Presiden yang memperlakukan seperti itu. Kepala Kantor Istana Presiden itu menjawab dengan penuh adab dan diplomasi, “Kami tahu semua ketua-ketua (yakni Presiden) kami adalah orang yang baik, namun demikian, orang sekelilingnya lah yang berperanan memberi nasihat”. Walaupun jawapannya tidak menjawab persoalan yang dilontarkan, namun jawapannya sudah cukup memberi makna dan mesej yang halus; bahawa mana-mana pemimpin harus mempunyai penasihat yang baik dan dihormati. Dalam tradisi kepimpinan Islām, perihal penasihat yang baik untuk seorang ketua atau pemimpin telah banyak dinukilkan persis karya Imām al-Ghazālī (m. 1111) Nasihāt al-Mulk, Al-Mawardī (m. 1058) Kitāb Nasihāt al-Mulk dan banyak lagi.

Salah satu sesi sepanjang latihan kepimpinan itu ialah latihan kajian lapangan. Para peserta dibahagikan mengikut kumpulan dan diagihkan ke tempat-tempat yang mempunyai nilai sejarah, agama dan kebudayaan, supaya akhirnya mereka memperolehi makluman balas dan pengalaman langsung mengutip data persejarahan dan kebudayaan. Antara tempat yang dikunjungi ialah Maqām Habīb Abdullah al-Aṭṭas, yang dikenali sebagai Wālī Kota berasal Hadrāmaūt, Yāman, kerana ilmu, amalan dan akhlaknya yang tinggi, bahkan juga merupakan nenda (datuk) Prof. Syed Muhammad Naquīb al-Aṭṭas. Salah satu kumpulan, bersama sebilangan rombongan penceramah dan fasilitator dari Malaysia berkesempatan meluangkan masa menziarahi Habīb Hussaīn al-Aṭṭas, sepupu Prof. al-Aṭṭas yang merupakan penjaga maqam tersebut dan salah seorang cucu Habīb Abdullah al-Aṭṭas. Pertemuannya santai dan penuh adab, diselangi dengan jenaka ringan bagi meraikan tetamu yang hadir, di samping kami disajikan cerita tradisi lisan bagaimana Habīb Abdullah al-Aṭṭas boleh berkahwin dengan permaisuri Raja asal dari Johor. Beliau, Habīb Hussaīn al-Aṭṭas sangat gembira apabila dimaklumkan bahawa sebilangan besar kami, terutamanya dari Malaysia yang hadir di situ, merupakan anak murid sepupunya, Prof. al-Aṭṭas, yang beliau puji sebagai seorang yang pintar dan cerdas.

Pengalaman latihan kepimpinan seperti ini sangat penting bagi pemimpin muda. Mereka diajar dan dibimbing bahawa kepimpinan dalam Islām mestilah berpandukan pandangan alam Islām yang sebenar. Sesi sharahan, kajian lapangan, perasmian buku, sesi refleksi bersama fasilitator, di samping aktiviti tidak rasmi antara peserta dengan penceramah dan fasilitator mengombrol hal-hal intelektual dan ilmiah sambil minum kopi adalah ramuan kepada program kepimpinan ini.

_MG_6817

Tidaklah mudah membina generasi kepimpinan melainkan dengan usaha yang serius dan berjangka panjang, dari semua pihak, terdiri daripada para sarjana, institusi kerajaan, institusi pengajian tinggi, dan masharakat seperti yang telah dilakukan di Bogor ini. Inilah pelaburan jangka masa panjang yang tidak mengeluarkan kos jutaan Ringgit, kerana tidak pula mereka dihidangkan dengan kegiatan sosial yang berlebihan dan sia-sia, bahkan demi untuk membina generasi kepimpinan Muslim yang berupaya dengan izin Allah menyambung tali sejarah lama dan baru dan mengekalkan tradisi dan peradaban ilmu untuk masa depan di Rantau ini khususnya dan dunia Islām umumnya.

Click Here for the PDF


[1] Beliau merupakan pelajar Sarjana CASIS-UTM yang terlibat sebagai fasilitator di Bogor. Catatan ini juga dibantu oleh Wan Mohd Aimran dan Wan Ahmad Fayhsal, masing-masing pelajar Phd dan Sarjana CASIS, terlibat sama sebagai fasilitator dalam program di Bogor.

[2] Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”. (Al-‘Araf: 172)

[3] Sila rujuk temuramah Seth Maydans, wartawan The New York Times dan The International Herald Tribune bersama Lee Kuan Yew di sini: http://www.theonlinecitizen.com/2010/09/transcripts-new-york-timesiht-interview-lee-kuan-yew/