KUALA LUMPUR, 3 Disember 2012 – Profesor Terulung Center for Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), YBhg. Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah antara tiga tokoh yang dipilih sebagai penerima Anugerah Merdeka 2012.
Dua lagi penerima ialah YBhg Tan Sri Prof. Emeritus Datuk Dr. Augustine Ong Soon Hock dan dan YBhg. Dr. Engkik Soepadmo.
Anugerah itu disampaikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Dewan Filharmonik, Petronas.
Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib menerima anugerah bagi kategori Pencapaian Cemerlang Skalastis, terutamanya dalam sumbangan beliau di bidang pengetahuan Islam kontemporari dan pendidikan keislaman.
Mereka menerima wang tunai berjumlah RM500,000 dan Piala Anugerah Merdeka serta Hasil Kreatif Anugerah Merdeka.
Penerima anugerah diiktiraf kerana kecemerlangan dan sumbangan berterusan kepada negara dan rakyat Malaysia.
Seterusnya, pemilihan dibuat mengikut bidang tumpuan masing-masing yang dianggap sebagai berperanan penting terhadap pertumbuhan dan pembangunan negara.
Selain dari sanjungan dan wang tunai yang lumayan, adalah diharapkan penerima Anugerah Merdeka akan mendapat tempat dalam sejarah, sebagai individu dan organisasi yang berkhidmat dengan cemerlang dan melebihi jangkaan.
Dalam menjalankan tugas dan amanah, mereka telah menunjukkan ciri sebenar Semangat Kemerdekaan iaitu pembebasan minda dan semangat usaha memburu kecemerlangan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim dan YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.
diambil dari http://www.news.utm.my/2012/12/9337/