KUALA LUMPUR, 16 Februari 2013: Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan seminar dan pelancaran buku “Adab dan Peradaban: Karya Pengiktirafan Untuk Syed Muhammad Naquib Al-Attas” di Hotel Renaissance.
Seminar dan pelancaran buku itu dianjurkan dengan kerjasama Ta’dib International , Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM), Yayasan Iqra dan Pena, telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Dr. Mohd Puad Zarkashi.
Dalam ucapannya, Dr. Mohd Puad menegaskan usaha membudayakan ilmu dan menjelaskan sumbangan pemikiran Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas telah mempengaruhi agenda pendidikan negara.
Manakala Naib Canselor, Prof. Dato’ Seri Dr Zaini Ujang dalam ucapan penghargaan telah menyebut antara lain peri pentingnya pengiktirafan diberikan kepada sumbangan para ilmuan dan ahli fikir.
Sementara itu, Datuk Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas mewakili Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Pengarah CASIS, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud dalam ucapan aluan dan ucaptamanya berkata, buku berkenaan merupakan satu pengiktirafan kepada Tan Sri Prof. Syed Muhamad Naquib Al Attas di atas sumbangan ilmu dan ketamadunan beliau sejak 40 tahun lalu.
Seminar itu katanya, adalah proses menyediakan lapisan pelapis ilmuan dan sarjana muda yang memahami gagasan besar beliau dan seterusnya menyebar luaskan kepada seluruh masyarakat.
Seminar berkenaan telah menampilkan barisan ahli panel yang terdiri daripada Ketua Pengarah DBP, Dr Haji Awang Sariyan, pensyarah CASIS Prof Madya Dr Wan Suhaimi dan pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Zariat Abdul Rani.
Sesi berkenaan dipengerusikan oleh Datuk Dr Ghazali Md Noor dari Yayasan Iqra.
Pada sesi kedua menyaksikan pembentangan oleh pelajar CASIS, Syed Muhyiddin Al-Attas dan Khairurijal serta Siti Aisyah Ngadiran dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Para pembentang telah mengupas beberapa sisi pandangan dan peranan besar Tan Sri Prof Syed Muhamad Naquib Al-Attas antaranya dalam mengemukakan gagasan peranan Islam yang merupacitakan bahasa Melayu dan perkembangan bahasa Melayu berbeza dengan teori perkembangan bahasa dari sudut analisa pemikir-pemikir Barat.
Islamisasi ilmu moden berlaku dengana peranan makna dalam bahasa yang betul. Peranan Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam ilmu kalam dan aqidah dalam pemikiran pemikiran Islam telah dimajukan dan ternyata bahawa usaha beliau mengukuhkan ilmu kalam dan aqidah selari dengan usaha-usaha para mutakallimun dan sufi terdahulu.
Dalam bidang sastera Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas mengemukakan jiwa dan rupa yang Islami, berbeza dengan apa yang difahami oleh kebanyakan tokoh-tokoh sastera masakini.
Perbandingan falsafah Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas juga telah dibandingkan dengan tokoh pemikir terkemuka Barat iaitu Immanuel Kant dan telah disokong dengan pembentangan tentang sumbangan beliau dalam pemikiran sains. Tafsiran tentang sejarah oleh Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas telah diketengahkan dengan jelas sekali.
Stesen televisyen TV Al-Hijrah sebagai media rasmi dan menyaksikan kehadiran lebih 300 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan lapisan masyarakat.
Antara yang hadir ialah Ketua Pengarah Biro Tatanegara, Dato’ Raja Arif Raja Ali, Datuk Ramli Musa, Dato Dr. Ghazali Mohd Nor, mahasiswa dari pelbagai universiti, wakil dari pertubuhan kebudayaan dan pelbagai lapisan masyarakat serta individu dari seluruh negara.
Untuk laporan postmortem, sila muat turun di sini