BOOK CLUB “SUMBER HISTORIOGRAFI ALAM MELAYU (KOLEKSI PERIBADI JOHN BASTIN)”
bersama Prof. Dr. Tatiana Denisova
SESI PERTAMA| 28hb NOVEMBER 2020 | ONLINE
Renungan dan Rumusan oleh Niswa Noralina Abdullah (pelajar Phd RZS-CASIS)
Penerbitan edisi terkini buku bertajuk “Sumber Historiografi Alam Melayu (Koleksi Peribadi John Bastin)” yang ditulis Prof Dr. Tatiana A. Denisova merupakan hasil penyelidikan semasa beliau ketika dilantik sebagai karyawan tamu di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun 2007 hingga 2008. Karya yang pernah diterbitkan pertama kalinya pada tahun 2011 mengandungi tiga bahagian utama, manakala edisi terkini penulis telah melakukan penambahan pada bahagian awal sebagai pengenalan yang merangkumi beberapa aspek penting bagi memahami hakikat sebenar pengkajian ilmu sejarah. Secara umumnya, buku ini menyediakan panduan kepada para pembaca terutamanya golongan penyelidik terhadap sejumlah koleksi peribadi seorang orientalis bernama John Bastin yang terkenal sebagai sejarawan ketika beliau berkhidmat di Universiti Malaya. Melihat kepada perbincangan bab awal, tiga aspek utama yang ditekankan oleh penulis ialah (1) bagaimana seseorang pembaca perlu memahami sejarah sebagai satu bidang ilmu yang istimewa, (2) memilih kerangka pemikiran dan pendekatan terbaik dalam pengkajian sejarah dan (3) bagaimana memanfaatkan sumber-sumber sejarah terpilih dalam historiografi Melayu. Ketiga-tiga aspek utama di atas, sedikit sebanyak telah dibincangkan dalam bicara buku pada 28 November 2020 yang lalu.
Pertama, Professor Tatiana mulakan dengan definisi sejarah (history) dari perspektif barat berasal dari istilah Greek “historia” bermaksud penyiasatan (inquiry) atau penyelidikan (research) terhadap peristiwa-peristiwa lampau dan sezaman yang digunakan oleh Herodotus (484ca. 425SM) – merupakan sejarawan yang pertama – di dalam karya beliau bertajuk “Histories”. Pemaknaan istilah sejarah (history) dikemukakan oleh ramai tokoh falsafah sejarah, contohnya R.G Collingwood (1889M-1943M) yang berpendapat sejarah (history) sebagai suatu ilmu yang mempunyai bentuk pemikiran dan memerlukan seseorang sejarawan menyoal perkara asas serta cuba menjawabnya, atau lebih tepat memahami objek sejarah bukan hanya sebagai peristiwa semata-mata, tetapi menjelaskan pemikiran terhadap peristiwa itu. Kedudukan ilmu sejarah dalam tradisi Barat dan Islam bertujuan untuk mencapai kebenaran, tetapi persoalannya bagaimanakah kebenaran itu dapat dicapai? Begitu juga Profesor Tatiana seringkali mengingatkan bahawa target utama ilmu sejarah ialah menyatakan kebenaran, berlainan dengan ilmu sastera yang hanya menyampaikan cerita dan tidak terikat dengan kebenaran. Oleh itu seseorang sejarawan memerlukan teori ilmu pengetahuan sejarah iaitu historiografi yang menjurus terhadap pengkajian dan penelitian akan pensejarahan penulisan sejarah, “history of history”; yakni merangkumi proses penulisan sejarah, perkembangan dan ciri-ciri khasnya.
Merujuk dalam tradisi Islam, faham sejarah dalam Islam adalah berteraskan prinsip tauhid yang tidak menyamaratakan antara sumber agama dan budaya. Prinsip tauhid meletakkan agama sebagai asas dan sumber utama/primer (primary source) berdasarkan kebenaran yang dimaktubkan didalam kitab suci Al-Qur’ān. Kebanyakan ayat dalam Al-Qur’ān mencatatkan peristiwa sejarah seperti kisah para Nabi dan Rasul, kisah umat terdahulu, kisah balasan kaum yang ingkar, penciptaan alam dan manusia serta kerajaan terdahulu sebagaimana firman Allah SWT di bawah :-
لَقَدْ كَانَ فِى قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌۭ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًۭا يُفْتَرَىٰ وَلَـٰكِن تَصْدِيقَ ٱلَّذِى بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَىْءٍۢ وَهُدًۭى وَرَحْمَةًۭ لِّقَوْمٍۢ يُؤْمِنُونَ
“Sungguh, pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang yang mempunyai akal. (Al-Qur’ān) itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya, menjelaskan segala sesuatu dan (sebagai) petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.” Surah Yusuf (12) : 111
Semua catatan-catatan peristiwa itu bertujuan untuk memberi pengajaran (‘ibrah) kepada seluruh umat manusia dan menjelaskan bahawa Al-Qur’ān adalah kitab yang tulen dan benar. Elemen-elemen pengajaran (‘ibrah) dan didaktik akan memberi panduan kepada manusia bagaimana menjalani kehidupan yang baik, seterusnya memandu manusia ke destinasi terakhir iaitu bertemu Allah SWT yang bersesuaian dengan tema penulisan sejarah dunia (universal history) dalam Islam mengikut hukum ketetapan Allah SWT (sunnatullah). Konsep sejarah dunia (universal history) ini boleh dirujuk dalam tema penulisan sejarawan Islam seperti al-Baladhuri (279H/893M), al-Tabari (310H/922M) dan al-Mas’udi (346H/957M). Ilmu sejarah dalam Islam bersifat menyeluruh yang tidak terpisah daripada panduan agama berbanding faham sejarah secara umum dari sudut nilaian pemikiran barat.
Subjek utama ilmu sejarah ialah manusia dan masyarakat yang mengandungi perkara-perkara penting seperti agama, ilmu pengetahuan, budaya, ekonomi, perundangan dan sebagainya yang merupakan dasar dan unsur ketamadunan umat manusia. Profesor Tatiana telah mengemukakan isu tradisi moden penulisan dan kajian sejarah di Barat yang memulakan sesuatu karya sejarah dengan menerangkan fosil antropomorfik (anthropomorphism) iaitu makhluk purba yang berasaskan proses evolusi daripada kerangka teori Darwin. Hal ini menunjukkan pertentangan antara dua konsep manusia yang berlainan dari sudut pemikiran sekular dan konsep berprinsipkan tradisi agama (1). Agama Islam telah menetapkan bahawa manusia merupakan suatu ciptaan yang istimewa berdasarkan firman Allah SWT :-
وَلَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ مِن سُلَـٰلَةٍۢ مِّن طِينٍۢ ثُمَّ جَعَلْنَـٰهُ نُطْفَةًۭ فِى قَرَارٍۢ مَّكِينٍۢ ثُمَّ خَلَقْنَا ٱلنُّطْفَةَ عَلَقَةًۭ فَخَلَقْنَا ٱلْعَلَقَةَ مُضْغَةًۭ فَخَلَقْنَا ٱلْمُضْغَةَ عِظَـٰمًۭا فَكَسَوْنَا ٱلْعِظَـٰمَ لَحْمًۭا ثُمَّ أَنشَأْنَـٰهُ خَلْقًا ءَاخَرَ ۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحْسَنُ ٱلْخَـٰلِقِينَ
“Dan sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dari saripati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; Kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; Kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk Dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.” (Surah al-Mu’minun 23 : 12-14)
Kedua, aspek yang ditegaskan oleh Profesor Tatiana ialah pemilihan kerangka pemikiran yang benar bagi memahami dan membina semula sejarah. Pemilihan kerangka pemikiran yang benar mensyaratkan kemampuan dan kefahaman ilmu pengetahuan seseorang sejarawan atau penyelidik terhadap konsep penulisan sejarah, pemilihan fakta dan pentafsiran data. Hal ini telah dijelaskan oleh Ibn Khaldun (1332-1406M) sejarawan abad ke 14 dengan memuatkan kritikan dalam catatan awal al-Muqaddimah mengenai kepentingan penggunaan sumber yang betul dan penulisan sejarah juga menuntut andaian daripada akal yang sihat agar kebenaran sejarah dapat dirungkai serta mengelakkan para sejarawan melakukan kesilapan dalam melaporkan sesuatu peristiwa penting. Manakala dalam konteks historiografi alam Melayu, Prof Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas merumuskan dalam karya beliau Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu seperti berikut :-
“Bahawasanya ternyatalah konsep tugas seorang ahli sejarah itu bukanlah mengkaji, mencatat, dan melaporkan segala hal yang terjadi dalam meriwayatkan dan mentafsirkan kehidupan dan nasib sesuatu bangsa; akan tetapi ia harus memilih apa yang hendak dikajinya, ia harus mengasingkan apa yang hendak dicatatnya dari bahan-bahan tiada terbatas itu, ia harus merumuskan apa yang hendak dilaporkannya dengan tujuan bagi menayangkan gambaran yang terdiri daripada sifat-sifat tertentu yang akan merupakan hakikat bangsa itu.” (2)
Profesor Tatiana juga menyentuh kesilapan para orientalis yang menjalankan kajian sejarah alam Melayu terutamanya berkaitan Islam di kepulauan ini. Kesilapan-kesilapan dari sudut kerangka pemikiran yang tidak memahami pandangan alam Islam, pemilihan sumber yang tidak tepat berkaitan subjek dan keraguan dalam mentafsir data dan fakta hingga akhirnya mencapai kesimpulan yang bertentangan dengan hakikat peristiwa sejarah itu sendiri. Walaupun wujudnya kelemahan-kelemahan tertentu akibat daripada keterbatasan ilmu, para orientalis seperti Snouck Hurgronje, Roland Braddell, Quaritch Wales, George Coedes, W. Linehan dan lain-lain banyak menyumbang hasil kajian yang baik dan kekal relevan untuk dirujuk oleh penyelidik kini, bukannya dengan sikap menolak secara keseluruhan tanpa mengemukakan justifikasi ilmiah kerana sesetengah idea dan kemahiran yang dimiliki oleh mereka wajar diberi perhatian.
Seterusnya, aspek terakhir ialah bagaimana sumber-sumber sejarah dalam historiografi Melayu dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya seharusnya berkait rapat dengan kefahaman kerangka pemikiran yang benar dan penguasaan kemahiran-kemahiran tertentu dalam kaedah penyelidikan sejarah. Profesor Tatiana dalam sesi perbincangan tersebut memetik isu kekeliruan para penyelidik terhadap dua definisi berkenaan sumber sejarah (sumber yang berbentuk tulisan – naratif ) dan artifak sejarah (peninggalan budaya – kebendaan). Hal ini dirumuskan oleh sejarawan Rusia Aleksander Lappo-Danilevsky seperti berikut :-
“… perlu membezakan dua jenis sumber sejarah: sumber yang menggambarkan (depict) dan/atau mewakili (represent) fakta sejarah dan sumber yang menghuraikan (denote/elaborate) fakta sejarah. Sumber yang menggambarkan atau mewakili fakta merupakan artifak merupakan artifak kebendaan serta sumber-sumber yang menghuraikan fakta adalah kebanyakan sumber-sumber persuratan. Artifak kebendaan sebenarnya diiktiraf sebagai peninggalan budaya (relics of culture) sedangkan sumber persuratan sebagai naratif/cerita sejarah (historical narrative) atau tradisi.”
Klasifikasi sumber-sumber sejarah telah dikemukakan oleh beberapa orang sejarawan Barat terutamanya pada abad ke 17M dan dianggap pengkelasan tersebut sempurna pada abad ke 19M, antaranya J. Lelewel, J. G Droyson, E. Bernheim. M. Handelsman, Koscialkowski, G. Labuda dan ramai lagi yang kebanyakan merumuskan sumber sejarah dari aspek tinggalan manusia atau hasil produk daripada aktiviti dilakukan oleh manusia lampau yang bersifat kebendaan. Pengkelasan sumber-sumber ini dilihat lebih menitikberatkan sifat fizikal sesuatu objek yang dikategorikan sebagai sumber primer berbanding melihat unsur-unsur dalaman yang terkandung dalam sumber tulisan (naratif). Perlu tekankan, sumber-sumber berbentuk naratif seperti manuskrip (ilmu-ilmu Islam), dokumen rasmi atau diari merupakan sumber primer yang mempunyai nilai intelektual dan elemen-elemen kerohanian walaupun akan berlaku proses penyalinan, perterjemahan atau penerbitan dalam konteks masa kini. Contoh yang jelas dalam sejarah Islam, Al-Qur’ān dii’tiraf sebagai sumber primer yang telah melalui pelbagai proses dari sudut fizikal, tapi masih diklasifikasikan sebagai sumber primer kerana kalam yang terkandung di dalam kitab suci itu adalah wahyu daripada Allah SWT, bukannya rekaan makhluk. Isu pendefinisian dan pengkelasan sumber-sumber sejarah ini perlu ditanggapi dengan teliti oleh para penyelidik bagi mengelakkan kesilapan dan dapat memanfaat sumber dengan betul dan tersusun.
Perkembangan kaedah pengkajian sejarah dalam tradisi Barat melalui dua peringkat (1) munculnya beberapa bidang ilmu pembantu sejarah seperti diplomatik, kronologi, paleografi, epigrafi dan leksikografi yang membolehkan para sejarawan menentukan keaslian sesuatu dokumen (2) pertumbuhan kaedah kritikan dalaman (internal criticism) salah satunya selepas pengukuhan terhadap ketulenan sesuatu dokumen dan meneliti kredibiliti pengarang sebagai saksi kepada fakta sejarah. Profesor Tatiana juga menyentuh kaedah analisis sumber primer yang perlu melalui proses kritikan iaitu kritikan luaran (external criticism) dan kritikan dalaman (internal criticism) dengan menyenaraikan beberapa jenis bidang ilmu pembantu sejarah seperti onomastik, kronologi, toponomastik, geneologi dan lain-lain. Ilmu-ilmu pembantu sejarah ini sangat penting sebagai pendekatan ilmiah dalam kajian sumber-sumber sejarah sama ada tradisi Melayu dan Barat. Oleh itu, para pembaca buku Sumber Historiografi Alam Melayu (Koleksi Peribadi John Bastin) wajar mengambil perhatian pada bahagian pengenalan dan melanjutkan hingga perbincangan dalam topik seterusnya, malahan perlu meluaskan pembacaan terhadap karya-karya berwibawa dalam bidang sejarah alam Melayu yang lain.
(1) Penerangan menyeluruh tentang faham insan berdasarkan ayat ini telah dikemukakan oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas, On Justice and the Nature of Man: A Commentary on Surah al-Nisa’ (4): 58 and Surah al-Mu’minun (23):12-14 (Kuala Lumpur: Ta’dib Foundation, 2020)
(2) Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (UKM Press, Kuala Lumpur, 2012), 3.
Untuk mengikuti sesi ke-2 bicara buku ini, boleh layari http://tinyurl.com/JBastinPart2
Sesi ini juga boleh diulang tayang melalui laman web Facebook kami di http://facebook.com/RZSCASIS.UTM dan http://facebook.com/hikmafellowship