KUALA LUMPUR, 26 April – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Dato’ Zaini Ujang telah melancarkan buku bertajuk “Rihlah Ilmiah dari Neomodermisme ke Islamisasi Ilmu Kontemporer” karya Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud  yang juga merupakan Pengarah Pusat Kajian Tinggi  Islam, Sains dan  Peradaban (CASIS) UTM.

Pelancaran buku terbitan kerjasama CASIS UTM dan  Institute for the Study on Islamic Thought and Civilization (INSISTS) Jakarta telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hj. Awang Sariyan dan beberapa orang kenamaan lain. Sebelum majlis pelancaran, telah diadakan sesi Wacana Bicara Buku yang dipengerusikan oleh Dr. Hj. Awang Sariyan. Di peringkat antarabangsa, buku tersebut telah dilancarkan di Islamic Book Fair, Jakarta pada 10 Mac 2012 yang lalu.

Buku Rihlah Ilmiah ini mempunyai keistimewaannya tersendiri yang menceritakan latar belakang perjuangan dan pengalaman penulis serta semangat gigih yang telah melandaskan pencapaian beliau di peringkat kebangsaan dan antarabangsa terutama dalam bidang penulisan Sains, Islam dan Peradaban.

Sehingga kini, Prof. Wan Mohd Nor telah menerbitkan 16 buah buku dan sebahagiannya telah diterjemahkan ke bahasa asing seperti Arab, Turki, Inggeris dan Jepun. Beliau turut bertanggungjawab menubuhkan Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) bersama pengasasnya Tan Sri Syed Naquib Al-Attas, Pemikir Ulung dunia Islam masa kini.

Prof. Wan Mohd Nor mempunyai pengalaman paling berharga dan unik kerana berpeluang berguru kepada dua pemikir ternama, Prof. Fazlur Rahman dan Prof. Syed Naquib Al-Attas.

Dato’ Zaini dalam ucapan pelancaran menyeru agar masyarakat merai dan menghargai tokoh-tokoh kesarjanaan serta memberi sokongan padu ke arah penghasilan karya bermutu agar dapat dikongsi ilmu yang bernilai untuk generasi kini dan akan datang. Tegas beliau lagi, penubuhan CASIS UTM antaranya bermatlamat untuk menyemarakkan penghasilan karya bermutu di bidang  Islam, Sains dan Peradaban.

Artikel asal boleh didapati di sini