+607-5534026 +607-5532206 humanities@utm.my

Sesi Dialog Bersama Tokoh Pendidikan

(Y.BHG. TAN SRI DR. KOH TSU KOON
&
YG. BHG. TAN SRI DATO’ SERI UTAMA HAJI ARSHAD AYUB)

Anjuran Bersama:
Fakulti Pendidikan UTM & Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam Malaysia (MEDC)

TEMA 😐
GURU MASA HADAPAN & MASA HADAPAN GURU

 

Tarikh     :   28 Feb 2017 (Selasa)
Masa      :    9.00 pagi hingga 11.00 pagi
Tempat  :    Dewan Senat, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim,  UTM


Tujuan Dialog
:

Sesi dialog ini bertujuan mengupas isu-isu semasa dan masa hadapan berkaitan cabaran guru untuk menangani cabaran pendidikan abad ke -21 dan sejauhmana masa hadapan dan pembangunan kerjaya guru-guru di Malaysia.

Panel Tokoh Pendidikan :

  1. BHG. TAN SRI DR. KOH TSU KOON
  2. BHG. TAN SRI DATO’ SERI UTAMA HAJI ARSHAD AYUB

Moderator:

PROF. DATO’ DR. ABDUL RASHID MOHAMED

Hadirin / Peserta :

Sesi ini telah dihadiri oleh:

  • Profesor Emeritus Dr. Ismail Bin Kailani
  • Dr. Aishah Binti Abu Bakar, Pengarah Bahagian  Pengurusan Pembangunan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia
  • Puan Mazula Binti Sabudin, Pengarah Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia
  • Encik Abdul Rahim bin Abdul Rahman, wakil Pengarah Jabatan Pendidikan  Negeri Johor
  • Pegawai-Pegawai Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Dekan-Dekan UTM
  • Dekan-dekan dari  Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam (MEDC) dan Timbalan-timbalan Dekannya
  • Barisan pihak pengurusan dan pentadbiran Fakulti Pendidikan, UTM
  • Warga pendidik, pensyarah-pensyarah dan guru-guru sekitar Johor Bahru / Kulai
  • Mahasiswa Program Sit-in Latihan Mengajar Antarabangsa daripada Universitas Muhammadiyah Purwokerto, Purwokerto , Jawa Tengah, Indonesia
  • Mahasiswa  daripada Persatuan Pelajar Pascasiswazah, Majlis Perwakilan Mahasiswa dan Persatuan Mahasiswa Pendidikan, Fakulti Pendidikan, UTM dan para peserta/hadirin Sesi Dialog bersama Tokoh Pendidikan.

Laporan dan Perbincangan Sesi Dialog:

Fakulti Pendidikan Universiti Awam Malaysia (UA) melalui Majlis Dekan-Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Awam (MEDC) adalah komited dalam memperkasakan kurikulum program pendidikan guru yang ditawarkan bagi tujuan menyediakan guru berkualiti secara holistik; kerketerampilan tinggi dari segi penguasaan pengetahuan dan kemahiran, menguasai kemahiran insaniah yang diperlukan sebagai guru serta bersahsiah tinggi. Usaha memperkasakan kurikulum pendidikan guru akan memberikan penekanan kepada aspek kurikulum, kokurikulum, ‘service learning’, ‘community service”, mobiliti pelajar, pentaksiran dan bidang kebitaraan (niche) Fakulti Pendidikan masing-masing di UA selaras dengan kemahiran pembelajaran abad ke 21.

Guru merupakan asas kepada sesuatu pembangunan, dalam erti kata yang lain guru ialah insan yang berperanan dan bertanggungjawab dalam mendidik di setiap peringkat masyarakat. Dalam merempuh arus pembangunan di seluruh pelusuk dunia ini, pelbagai cabaran yang harus diredah oleh guru bagi mendidik masyarakat supaya tidak terjerumus ke dalam kegelapan kejahilan.  Oleh itu peranan dan tanggungjawab guru menjadi semakin rumit.  Dari segi bahasanya, peranan seorang guru bermaksud bidang tugas yang dipegang olehnya. Manakala tanggungjawab seorang guru pula membawa maksud kewajipan yang dipikul olehnya.  Oleh yang demikian guru bukanlah hanya berperanan dalam mendidik masyarakat sejagat, bahkan ianya juga bertanggungjawab atas setiap yang dididiknya.

Keberhasilan pendidikan yang diterjemahkan dengan pembangunan modal insan yang berkualiti masih merupakan sandaran negara ke arah negara maju.  Amanah ini merupakan tanggungjawab besar yang perlu dihayati oleh semua warga pendidikan terutama guru-guru di bilik darjah  .  Peranan dan komitmen mereka amat diperlukan dan malah tugas menjadi sangat mencabar dengan keperluan pembelajaran Abad ke- 21. Guru yang berkualiti dan bersedia menghadapi cabaran menjadi sandaran Kementerian Pendidikan untuk merealisasikan transformasi pendidikan negara seperti dihasrat melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 –2025.

Pengajaran dan pembelajaran Abad Ke-21 mempunyai ciri-ciri yang berbeza dengan pendidikan masa lampau.  Tujuan pembelajaran Abad Ke-21 adalah untuk  melahirkan murid yang produktif tinggi, mahir dalam komunikasi, mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi serta mahir dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta penerapan “Computational Thinking Skills”  .   Oleh yang demikian bagi memastikan objektif pengajaran dapat dicapai, guru-guru perlu terlebih dahulu melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran tersebut sebelum melaksanakan pengajaran dengan berkesan.

Guru-guru juga berhadapan dengan murid-murid yang jauh berbeza dengan murid-murid masa lalu. Murid-murid kini lebih terdedah dengan maklumat yang diperolehi daripada pelbagai sumber dan mempunyai kecenderungan untuk mengetahui dan bertanya dengan lebih mendalam. Murid pada alaf baharu ini lebih mempunyai akses kepada maklumat kerana lebih terdedah kepada kepesatan teknologi.

Justeru, sebagai guru yang berwibawa, guru-guru perlu melengkapkan diri kemahiran tertentu bagi memudahkan mereka menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21.  Usaha-usaha ini memerlukan pengorbanan dan komitmen yang tidak sedikit dan sebagai bagi guru yang komited, segala kepayahan dan cabaran akan terbayar jika anak didiknya mampu dibentuk dan berjaya dalam pelajaran dan kehidupannya.

Guru harus mempunyai pandangan yang luas (world view). Kemajuan pendidikan di Malaysia perlu menekankan pembelajaran sepanjang hayat (life-long learning) dan menitikberatkan kepada 3R (Reading, Writing & Arithmetic) yang  merujuk kepada :

i) Reading literacy,
ii) Science literacy,
iii) Mathematics literacy

di peringkat sekolah rendah dan menengah.  Pelajar juga perlu didedahkan dan dilatih dengan kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS) seperti kemahiran berfikir secara analitikal, kreatif & inovatif. Pperingkat pendidikan tinggi di Malaysia perlu diperkukuhkan lagi, walaupun secara perbandingan dengan negara-negara lain kedudukan pendidikan tinggi Malaysia berada pada keadaan baik.

Memartabat profesion perguruan merupakan perkara yang paling penting.  Guru perlu menetapkan apakah ‘outcome’ dan komitmen yang perlu diambil kira dalam pembangunan murid/pelajar. Sejauh mana guru-guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan apakah hasil dari pelaksanaan tersebut merupakan persoalan yang perlu difikirkan. Guru perlu ada keperibadian dan kepimpinan yang tersendiri agar pelajar dan masyarakat yakin terhadap mereka dan tidak perlu untuk meniru orang lain. Oleh yang demikian pemimpin/pentadbir perlu belajar (berilmu) dalam pentadbiran.  Betapa pentingnya pendidikan awal di tadika diberi perhatian yang khusus kerana di sini bermulanya pendedahan anak-anak kepada alam persekolahan.

Intipati  Majlis Sesi Dialog:

Berikut adalah intipati daripada majlis sesi dialog yang berlangsung:

  • Guru hendaklah melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh komitmen.
  • Guru hendaklah mempunyai semangat mencintai kerjayanya (passion).
  • Guru perlu menzahirkan semangat mencintai kerjayanya dengan mewujudkan empati dan

               perasaan kasihsayang terhadap pelajar (compassion).

  • Guru perlu ikhlas dalam menyampaikan ilmu dan mendidik pelajar
  • Gabungan ilmu diminda dan keikhlasan dihati adalah resipi untuk menjadi seorang pendidik

               yang baik.

  • Guru yang baik adalah yang boleh memberi inspirasi kepada pelajarnya untuk menjadi insan

               yang seimbang.

  • Guru mesti menjadi teladan kepada generasi muda

Sekian.