Mei 2016, Johor Bahru –  Akademi Bahasa UTM telah mendatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru dalam bidang akademik, penyelidikan, pembangunan pendidikan dan lain-lain aktiviti

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Tuan Haji Shaharuddin Saari, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru manakala pihak Akademi Bahasa UTM oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdul Raof, Dekan Akademi Bahasa.   Turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Norazman Abdul Majid, Timbalan Dekan (Akademik), Prof. Madya Dr. Hadina Habil, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) dan Baharudin Mastari, Timbalan Pendaftar, Akademi Bahasa serta ketua-ketua unit dan pegawai-pegawai PPD JB.

Antara tujuan MoC adalah untuk:

i. Mempromosi program pengajian yang ditawarkan oleh Akademi Bahasa UTM kepada guru-guru di sekolah dan pegawai-pegawai Daerah Johor Bahru.
ii. Memajukan perkongsian ilmu dan budaya dalam bidang pendidikan, penyelidikan, latihan.
iii. Mewujudkan kerjasama ke arah pengantarabangsaan sistem pendidikan di negara ini khususnya di negeri Johor
iv. Menjalinkan jaringan Rakan Akademik

Menurut Tuan Haji Shaharuddin Saari, Ketua Pegawai Daerah Pendidikan Daerah Johor bahru (PPDJB), sistem pendidikan hari ini memberikan mandat yang lebih besar kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk merangka dan melaksanakan program bagi melonjakkan prestasi di daerah masing- masing, selaras dengan Program Transformasi Daerah (DTP) yang dijelmakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, (PPPM) 2013-2025.

Dalam visi Kementerian Pendidikan Malaysia juga disebutkan bahawa aspirasi sistem pendidikan hari ini adalah untuk melahirkan murid-murid  yang mempunyai ciri-ciri berpengetahuan, berkemahiran berfikir, berkemahiran memimpin, berkemahiran dwibahasa, berpegang pada etika dan kerohanian dan beridentiti nasional. Maka untuk merealisasikan aspirasi tersebut, PPD Johor Bahru membina jaringan dan jalinan dengan pelbagai pihak termasuklah dengan Akademi Bahasa, UTM Johor  Bahrub selaras dengan anjakan ke-9 PPPM iaitu “Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas”.

Selain itu, di bawah DTP juga diwujudkan dua jawatan baharu iaitu School Improvement Partners (SIP+) yang menjadi pembimbing dan pakar rujuk kepada Pengetua dan Guru Besar dari segi kepimpinan.  Manakala School Improvement Specialist Coaches (SISC+) pula berperanan mengubah landskap pedagogi guru di dalam bilik darjah ke arah Pembelajaran.

Dekan Akademi Bahasa berharap dengan termeterainya jalinan kerjsama ini aktiviti pendidikan, latihan, dan penyelidikan akan bertambah rancak untuk mempertingkatkan kecemerlangan pelajar, guru dan pensyarah dengan semangat muafakat Johor.